PETALING JAYA: Penyerang DPMM FC, Syafiq Ahmad memasang impian untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Dalam masa yang sama, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC itu mahu menampilkan aksi cemerlang bersama DPMM FC musim ini.
“Fokus utama sekarang adalah membantu DPMM bersaing dalam liga, namun jika diberi rezeki, saya mahu kembali bersama skuad kebangsaan.
“Saingan di posisi serangan memang sengit dengan kehadiran pemain warisan, tetapi itu kelebihan buat pasukan negara.
“Saya anggap ia cabaran yang sihat untuk tingkatkan lagi prestasi diri dalam merebut tempat ke skuad kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penyerang berpengalaman itu juga mengakui memilih kelab dari Brunei itu untuk saingan Liga Malaysia musim ini kerana mahu mencari suasana baharu serta cabaran berbeza.
“Saya rasa sebelum ini ada beberapa isu menjejaskan prestasi saya. Jadi, saya mahu cuba suasana dan pengurusan baharu. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan baik.
“DPMM mungkin perlukan dua atau tiga perlawanan untuk benar-benar menyesuaikan diri dengan tempo Liga M, tetapi saya percaya pasukan ini mampu pergi jauh,” katanya.
Mengulas sasaran musim pertamanya, Syafiq menegaskan DPMM tidak menetapkan harapan terlalu tinggi, sebaliknya mahu menilai kemampuan sebenar dalam kancah Liga M.
“Kontrak saya bersama DPMM selama tiga tahun. Musim pertama lebih kepada proses penyesuaian, tetapi saya akan cuba membantu pasukan meraih kedudukan terbaik,” katanya.-UTUSAN