PETALING JAYA: Kehadiran tujuh pemain kebangsaan akan memperkasakan Kuala Lumpur City (KL City) FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, senarai nama terbabit akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Nama pemain dan barisan kejurulatihan KL City akan diumumkan dalam masa yang terdekat dan sasaran kami jelas iaitu menduduki kelompok tiga teratas Liga Super,” kata kepada Utusan Malaysia.
Menurut Syed Yazid, selain memperkukuhkan barisan pemain, struktur gaji pemain turut dinaikkan sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan prestasi pasukan serta menarik bakat terbaik menyertai KL City.
Pada saingan Liga Super musim 24/25 , KL City berjaya menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas berjaya mengumpul 31 mata.
Syed Yazid berkata, KL City berada di landasan tepat untuk mengharungi musim yang lebih kompetitif, termasuk memenuhi syarat pelesenan Liga M.
Isu gaji tidak timbul katanya, malah bayaran kepada pemain dilakukan secara berperingkat dan telah diselesaikan sepenuhnya melibatkan skuad piala presiden dan belia.
“Zaman saya, tiada isu tunggakan gaji. Bayaran dibuat berperingkat dan ada pemain yang sudah selesai sepenuhnya ,” katanya.-UTUSAN










