PETALING JAYA: Status mengenai masa depan Datuk Azizulhasni Awang akhirnya terjawab selepas jaguh berbasikal trek negara itu membuat keputusan untuk meneruskan kariernya secara profesional.
Azizulhasni mengambil masa selama lapan bulan bagi memikirkan masa depannya apabila sebelum ini beliau mahu mempertimbangkan semula keputusan persaraannya sebaik sahaja tamat Olimpik Paris pada Ogos lalu.
Atlet berusia 37 tahun itu akan mewakili Team Azizul dan beliau diberikan geran individu oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebanyak RM200,000 untuk tempoh dua tahun sehingga 2026.
Petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan adalah persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 dan Sukan Komanwel 2026 dengan geran tersebut meliputi perbelanjaan pengurusan jurulatih, pengurusan latihan dan pertandingan, pengurusan pusat, peralatan latihan serta sains perubatan sukan.
“Jujurnya ramai yang mengharapkan saya kembali sehingga Sukan Olimpik 2028, kalau tanya saya jujurnya saya tak fikir sehingga ke tahap itu. Buat masa ini, apa yang saya boleh beritahu, saya nak meneruskan untuk tempoh dua tahun sahaja dulu, satu langkah pada satu masa.
“Salah satu sebabnya, pengakhiran di Paris adalah sesuatu yang tidak manis untuk saya dan memang benda itu yang mengganggu saya sehingga ke hari ini. Saya bina karier saya dengan baik, segala pencapaian, apa yang saya lalui, kesusahan dan kepayahan saya dapat laluinya.
“Namun, penutupnya agak kurang manis tidak seperti yang saya mahukan dan sebab itu ini adalah keputusan yang sukar untuk saya kembali. Diharapkan di Sukan Asia 2026 dan Sukan Komanwel 2026 nanti ada sesuatu manis-manis dan saya dapat mengucapkan selamat tinggal dengan baik,” katanya dalam sidang akbar bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, semalam.
Sebelum ini, masa depan Azizulhasni hangat diperkatakan selepas kegagalannya membawa pulang pulang pingat ketika mewakili negara buat kali kelima dalam Sukan Olimpik di Paris, tahun lalu.
Beliau sudah melalui pelbagai liku dalam kariernya untuk memburu pingat emas di Sukan Olimpik terpaksa menelan kepahitan apabila penyertaannya dalam acara keirin Paris 2024 kerana memotong derby terlalu awal.-UTUSAN