SHAH ALAM: Penyanyi, Ameng Spring menegaskan hubungan yang terputus dengan dua anak perempuannya bukan berpunca daripada kehendaknya sendiri, sebaliknya disebabkan tempoh penjara yang dilalui sebelum ini.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 57, berkata, hubungan dengan anak keduanya, Azeva Natassha, 25, juga tidak rapat berikutan perpisahan yang berlaku selama kira-kira sedekad.
Menurutnya, ketika menjalani hukuman penjara selama lapan tahun, Azeva masih kecil dan segala bentuk komunikasi termasuk pertemuan serta hubungan telefon tidak dibenarkan, sekali gus menyebabkan hubungan keluarga terputus.
“Apabila kami kembali bersama untuk latihan persembahan program TTMM (Talk To My Manager) 2 di pejabat A Aida, Azeva sudah mula berasa sebak.
“Kakaknya, Wan Az Aleesa, juga kerap mengingatkan supaya dia tidak menangis di pentas kerana bimbang menjejaskan nyanyian,” katanya.
Tambah Ameng, kebimbangan itu menyebabkan Azeva mengelak memandang wajahnya ketika menyanyi dan hanya berbuat demikian pada penghujung persembahan, yang turut mendapat perhatian netizen.
Mengulas lanjut, Ameng mengakui tidak menyangka kemunculannya mengiringi Azeva menerusi lagu Sejiwa sambil bermain gitar di pentas menjadi tular dan menyentuh hati ramai.
Katanya, sebagai penyanyi berpengalaman, dia mampu mengawal emosi dan kehadirannya dalam program tersebut adalah bagi membantu perkembangan karier seni anaknya.
“Namun apabila kisah ini menjadi nyata, memperlihatkan hubungan kekeluargaan yang kembali terjalin di pentas, saya anggap ia rezeki daripada Allah kerana ia tidak dirancang.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dan pemuzik, tetapi susunan kejadian di pentas termasuk kemunculan ibunya menjadikan ia sesuatu yang indah dan menyentuh perasaan ramai,” katanya.
Menurut Ameng, situasi tersebut turut menjadi inspirasi kepada masyarakat yang berdepan konflik keluarga, selain menganggapnya sebagai kurniaan rezeki yang tidak disangka.
Terdahulu, A Aida yang juga penerbit terkenal meluahkan rasa terharu terhadap kesungguhan Ameng membantu memperkukuh persembahan Azeva dalam program TTMM2.










