Tiada perubahan MB Negeri Sembilan, Aminuddin kekal - PM

Tiada perubahan MB Negeri Sembilan, Aminuddin kekal – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan berubah meskipun Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun hilang kepercayaan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada UMNO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak termasuk pimpinan UMNO perlu bertenang serta menghormati titah Yang di-Pertuan Besar yang mahu Aminuddin yang juga Adun Sikamat, menjalankan tugasannya sebagai Menteri Besar seperti biasa.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri perlu diteruskan dalam mendepani krisis ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Tumpu itulah (titah Yang di-Pertuan Besar), hendak rebut apa lagi. Tunggulah sekejap. Jadi sebab itu, kita sudah nasihatkan dan saya pun sudah sampaikan kepada kawan-kawan serta kepada pimpinan UMNO.

“Kita boleh berunding, tetapi sekarang jangan gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat. Itu Yang pentingnya,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini, hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan semua 14 Adun Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bersetuju untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan bagi memastikan kestabilan terus terpelihara.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan dalam pertemuannya bersama semua 14 Adun dari Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, langkah yang diambil semua 14 ADUN terbabit sebenarnya berniat baik bagi mempertahankan institusi raja dan adat di Negeri Sembilan, dihormati dan didukung semua rakyat.

Ditanya sama ada langkah menarik sokongan terhadap Menteri Besar, namun masih menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sebagai tindakan untuk menukar Menteri Besar, Ahmad Zahid berkata, sebarang permasalahan atau pertikaian harus dihadapi secara bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN