PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah mengakui isu kecergasan masih menjadi faktor utama kekalahan mereka di tangan gandingan handalan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada suku akhir Terbuka China, kelmarin.
Bagaimanapun, pasangan No. 5 dunia itu enggan terlalu memikirkan kekecewaan tersebut, sebaliknya memilih untuk menjadikan kejohanan bertaraf Super 1000 itu sebagai medan mengembalikan semula rentak sebelum meneruskan cabaran di Terbuka Taiwan, minggu depan.
Pearly berkata, dia sedar belum berada pada tahap terbaik selepas berehat panjang akibat kecederaan, namun di sebalik kekalahan itu, banyak kemajuan dalam permainannya bersama Thinaah.
“Satu perkara yang saya pelajari ialah walaupun berada dalam situasi yang sukar, kami masih mampu mencari jalan untuk memberi tentangan. Kami berkomunikasi dengan baik di gelanggang dan tahu corak permainan yang kami mahukan.
“Cuma kami masih kekurangan dari segi kecergasan, terutama di pihak saya. Kami masih ada satu lagi kejohanan minggu depan, jadi kami akan menggunakan beberapa hari ini untuk berlatih bagi memperbaiki kelemahan dan berharap dapat tampil lebih baik,” katanya kepada wakil BWF, kelmarin.
Mengulas lanjut, menurut Pearly, dia dan Thinaah sebenarnya tidak meletakkan sasaran keputusan tertentu sebaik kembali beraksi kerana keutamaan mereka ketika ini adalah mendapatkan semula momentum permainan.
“Walaupun kami merupakan pemain pilihan, itu bukan lagi perkara utama kerana saya sudah lama berehat. Semua pemain semakin meningkat, jadi kami melihat setiap perlawanan sebagai proses pembelajaran dan peluang untuk mendapatkan semula rentak,” ujarnya.
Sementara itu, Thinaah pula berkata, masih banyak aspek yang perlu ditingkatkan selepas mereka kembali beraksi, terutama daripada segi corak permainan dan persefahaman di gelanggang.
Jelasnya, pasangan Jepun berjaya memberikan tekanan pada mata-mata kritikal sehingga menyebabkan mereka gagal merapatkan jurang dan akhirnya tewas.
“Pemain Jepun melakukan tugas dengan baik untuk memberi tekanan kepada kami, terutama ketika kami cuba mengejar mata. Itulah yang membawa kepada jurang mata yang besar pada penghujung perlawanan.
“Namun secara keseluruhan, kami bersyukur dapat menamatkan perlawanan dengan selamat kerana kesihatan dan kecederaan adalah keutamaan. Kami tidak berpuas hati dengan keputusan ini, tetapi fokus kami kini adalah satu lagi kejohanan minggu depan,” katanya.
Menurut Thinaah, mereka turut melihat beberapa petanda positif sepanjang kempen di Terbuka China, namun, mengakui masih perlu memperkemaskan komunikasi, penguasaan gelanggang serta persefahaman sebelum kembali bersaing di Terbuka Taiwan.
“Saya rasa memang ada tanda-tanda positif, tetapi masih banyak perkara yang perlu kami usahakan. Kami akan mengambil semua perkara positif daripada kejohanan ini dan terus melangkah ke hadapan,” tegasnya. – UTUSAN










