PETALING JAYA: Beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di separuh akhir selepas tunduk kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada Kejohanan Badminton China Masters di Shenzhen, China, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang kerap memberikan mata mudah kepada lawan ekoran kesilapan sendiri tumpas straight set 17-21, 14-21 dalam masa 41 minit.
Kekalahan beregu No. 1 Malaysia itu menyaksikan Rankireddy-Shetty yang menghuni ranking No. 7 dunia mencatat kemenangan kelima daripada 16 pertemuan kedua-dua pasangan tersebut.
Kemerosotan Aaron-Wooi Yik mula dapat dilihat sebelum penampilan mereka pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis, Ogos lalu lagi.
Langkah Aaron-Wooi Yik mula kelihatan serba canggung sejak penyertaan mereka pada Terbuka Jepun, Julai lalu selepas tersingkir seawal peringkat 32 terbaik.
Di pusingan sama mereka tewas pada Terbuka Hong Kong, minggu lalu, dan pada China Masters prestasi Aaron-Wooi Yik lebih baik kerana sekurang-kurangnya berjaya mara sehingga ke separuh akhir.
Tetapi prestasi mereka sewaktu menjuarai gelaran Asia di Ningbo, China, April lalu dan merangkul kemenangan pada Terbuka Thailand serta Terbuka Singapura, Mei lepas masih belum dapat diulangi Aaron-Wooi Yik.
Diharap beregu No. 2 dunia itu dapat segera keluar daripada kemerosotan prestasi sebelum Jelajah Dunia Akhir, hujung tahun ini. – UTUSAN