Antonelli bakal sertai Ferrari? - Utusan Malaysia

Antonelli bakal sertai Ferrari?

Andrea Kimi Antonelli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Juara dunia Formula Satu (F1), Andrea Kimi Antonelli diramal bakal menyertai Ferrari pada masa depan, namun bekas ketua pasukan Haas, Guenther Steiner menjangkakan perpindahan itu mungkin hanya berlaku dalam tempoh 10 tahun lagi.

Steiner berkata, usia Antonelli yang masih muda memberinya ruang untuk terus mengembangkan karier sebelum menyertai pasukan dari negara kelahirannya itu.

Menurutnya, agak janggal apabila Itali memiliki seorang juara dunia tetapi tidak mewakili Ferrari, pasukan yang cukup sinonim dengan negara berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia masih sangat muda dan pada pandangan saya, dia akan memandu untuk Ferrari suatu hari nanti. Adakah ia akan berlaku dalam masa terdekat? Tidak. Mungkin 10 tahun lagi,” katanya dalam temu bual bersama RacingNews365.

Steiner turut percaya Ferrari akhirnya akan mendapatkan khidmat Antonelli, malah pelumba muda itu boleh menyertai pasukan berkenaan pada bila-bila masa sekiranya mahu.

Bagaimanapun, Antonelli sebelum ini menegaskan dia masih selesa bersama Mercedes, pasukan yang memberinya peluang sejak kecil dan mahu membalas kepercayaan diberikan kepadanya.

“Walaupun Ferrari sebuah jenama besar dan luar biasa, saya gembira bersama Mercedes kerana mereka yang memberi peluang kepada saya sejak kecil dan saya merasakan masih banyak yang perlu saya sumbangkan kepada mereka,” katanya ketika di Monza pada September lalu.

Pelumba berusia 20 tahun itu mencipta sejarah apabila muncul juara dunia F1 termuda pada 1 November lalu selepas menjuarai Grand Prix (GP) Mexico, sekaligus menamatkan penantian Itali untuk melahirkan juara dunia sejak Alberto Ascari pada 1953.

Antonelli menjadi pelumba Itali pertama memenangi kejuaraan dunia F1 ketika mewakili pasukan bukan dari negaranya sendiri, berbeza dengan Ascari yang muncul juara bersama Ferrari dan Giuseppe Farina bersama Alfa Romeo. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini