PETALING JAYA: Skuad remaja negara terpaksa berpuas hati muncul naib juara pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia Berpasukan Campuran 2026 di Kaherah, Mesir, kelmarin.
Bagaimanapun, pencapaian itu merupakan satu keputusan yang baik, selepas Malaysia gagal membawa pulang sebarang pingat dalam acara berpasukan pada tahun lalu.
Kejohanan yang dikenali sebagai Piala Suhandinata itu menyaksikan skuad muda negara tewas kepada juara bertahan, China 1-2, sekali gus mengulangi pencapaian edisi 2017.
Dalam aksi format relay 55 mata, China memenangi pusingan pertama 55-46 sebelum Malaysia bangkit memenangi pusingan kedua 55-53, sekali gus mengheret perlawanan ke pusingan penentuan.
Saidatul Saadiah Muhammad gagal mengubah keputusan dalam sektor perseorangan apabila pemain itu tewas kepada Yin Yi Qing 5-11, manakala, Tiew Wei Jie tunduk di tangan Luo Jing Yu 13-22.
Defisit mata yang ditinggalkan wakil perseorangan, menyukarkan beregu perempuan, Genevie Lim-Low Zi Yu mengejar pasangan China, Shi Si Chen-Wei Yue Yue apabila kalah 18-33, manakala, Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal-Zi Yu tumpas kepada Yi Lang Feng-Li Meng Han 30-44.
Beregu lelaki, Damien Ling-Muhammad Shazmir Irfan yang cuba mengejar turut tewas kepada Tu Yi Chen-Zheng Wei Gang 46-55 dan meletakkan China memenangi set pertama.
Permainan yang disambung dalam pusingan kedua, menyaksikan kebangkitan Malaysia dalam sektor beregu, walaupun Saidatul dan Wei Jie tewas lagi.
Genevie-Zi Yu beraksi cemerlang mengalahkan Si Chen-Yue Yue 33-39, manakala, Shazmir-Genevie mengetepikan Lang Feng-Meng Han 44-36.
Gandingan Shazmir-Zulwaqqarizal memastikan skuad negara mengikat China 1-1 selepas menewaskan Yi Chen-Wei Gang 55-53.
Bagaimanapun, para pemain gagal beraksi konsisten dalam set penentuan apabila Malaysia tewas dalam kesemua sektor, sekali gus membuka laluan kepada China mempertahankan gelaran.-UTUSAN











