PETALING JAYA: Hasrat pertahanan Kuala Lumpur City (KL City), Giancarlo Gallifuoco untuk menyarung jersi Harimau Malaya masih belum dapat direalisasikan apabila proses menjadi pemain naturalisasi memerlukan beberapa kelulusan penting.
Pemain berusia 32 tahun itu, mengakui perkembangan terkini proses berkenaan berjalan mengikut perancangan, namun beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum langkah seterusnya dapat diambil.
Menurut Gallifuoco, peguam yang menguruskan urusannya kini sedang berhubung dengan KL City bagi memastikan segala dokumentasi dan prosedur berkaitan dapat dilengkapkan.
“Peguam saya sedang berhubung dengan KL City FC, yang kini mengambil langkah diperlukan untuk bergerak ke hadapan.
“Saya percaya kami sedang menunggu beberapa kelulusan daripada FAM dan selepas semuanya selesai, kami berharap dapat meneruskan langkah seterusnya untuk proses naturalisasi,” katanya yang dikongsi dalam media sosialnya.
Perkembangan itu bermakna impian Gallifuoco untuk menyertai skuad kebangsaan memerlukan sedikit masa sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.
Nama pemain kelahiran Australia itu mula menjadi perhatian penyokong tempatan selepas dikaitkan dengan kemungkinan menyertai projek pengukuhan Harimau Malaya menerusi proses naturalisasi.
Gallifuoco dilihat mempunyai laluan yang lebih terbuka kerana penglibatannya bersama Australia hanya membabitkan peringkat remaja.
Bekas pemain skuad muda Australia itu tidak pernah mewakili pasukan senior negaranya dalam pertandingan rasmi, sekali gus memberinya peluang untuk menukar pertalian persatuan mengikut peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FIFA) sekiranya semua syarat dipenuhi. – UTUSAN











