Shearer, Agbonlahor kritik kapten United 

Shearer, Agbonlahor kritik kapten United 

TONGGAK tengah Manchester City, Phil Foden (kanan) merayu kepada pengadil perlawanan, Michael Oliver selepas dia menerima kad merah atas kesalahan mengasari pemain Manchester United, Bruno Fernandes dalam aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Legenda England, Alan Shearer mengkritik keras kapten Manchester United, Bruno Fernandes yang didakwanya sengaja memperdayakan pengadil sehingga menyebabkan Phil Foden dilayangkan kad merah dalam derbi Manchester di Old Trafford, Ahad lalu.

Kontroversi itu menjadi antara tumpuan utama selepas United tewas 0-1 kepada Manchester City menerusi jaringan Erling Haaland yang turut mencetuskan perdebatan susulan campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bagaimanapun, insiden yang lebih mencuri perhatian berlaku seawal minit ke-23 apabila Foden diperintah keluar padang selepas dilihat menendang Fernandes ketika kedua-dua pemain itu bergelut di atas rumput.

Rakaman ulang tayang bagaimanapun menunjukkan Fernandes terlebih dahulu melakukan tindakan terhadap pemain England itu sebelum Foden bertindak balas, sekali gus mencetuskan perbahasan mengenai kewajaran kad merah yang dilayangkan.

Shearer yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman EPL menyifatkan tindakan Fernandes merebahkan badan dan berguling di atas padang sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Dia sengaja buat begitu untuk pastikan Foden dibuang padang. Ya, Foden ada membalas tendangan itu sedikit tetapi Bruno Fernandes yang memulakan tendangan terhadap Phil Foden terlebih dahulu.

“Jika Phil Foden menunjukkan reaksi melampau seperti yang dilakukan Bruno Fernandes, kedua-duanya pasti menerima kad merah. Bagi saya, sama ada kedua-duanya dibuang padang atau tiada langsung kad merah dilayangkan.

“Foden memang bertindak bodoh kerana membalasnya, betul? Tetapi Bruno Fernandes melakukan perkara yang sama. Jadi tanpa ragu-ragu, jika Michael Oliver menganggap tindakan Foden itu layak menerima kad merah, Bruno juga sepatutnya menerima nasib yang sama,” katanya.

Pandangan itu turut disokong bekas penyerang Aston Villa, Gabby Agbonlahor yang berpendapat United menerima balasan setimpal apabila tewas hasil jaringan kontroversi Haaland pada babak kedua.

Gol tunggal City pada minit ke-60 pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid sebelum keputusan itu diubah selepas semakan VAR dan teknologi separa automatik.

“Bruno Fernandes memang penipu. Dia pemain yang sangat hebat tetapi suka menipu.

“Anda menendang Foden dua kali semasa di atas padang yang sepatutnya memberikan anda kad merah. Kemudian bila Foden bertindak balas sedikit, anda berguling-guling seperti cedera parah padahal tidak langsung.

“Pengadil yang berwibawa sepatutnya datang dan berkata ‘kamu berdua, berhenti bertengkar, kad kuning untuk kamu berdua dan teruskan permainan’. Itu bukannya kad merah.

“Sebab itulah anda menerima karma. Gol Haaland yang sepatutnya dibatalkan itu mungkin karma yang wujud dalam bola sepak atas kad merah Phil Foden,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×