PETALING JAYA: Kehadiran mesin gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva ke dalam skuad kebangsaan diyakini mampu membentuk gandingan mantap di bahagian serangan skuad Harimau Malaya.
Keserasian Bergson bersama Arif Aiman Hanapi sudah terbukti dengan JDT dan ‘sengat’ barisan hadapan Harimau Malaya bakal bertambah apabila kedua-dua pemain itu bergabung bersama Faisal Halim.
Bergson, Arif Aiman dan Faisal berada dalam kelas tersendiri selepas mencatatkan sembilan gol serta 10 bantuan jaringan sepanjang aksi Liga Super setakat ini bersama pasukan masing-masing.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin percaya barisan terkuat yang dimiliki Harimau Malaya ketika ini mampu menghasilkan prestasi lebih baik pada kempen akan datang berdasarkan prestasi semasa pemain.
Sulaiman berkata, kepulangan beberapa pemain berpengalaman dan penampilan pertama Bergson memberi gambaran positif terhadap kemampuan skuad kebangsaan untuk mencatat keputusan yang lebih baik.
“Selamat kembali barisan terkuat kali ini. Saya percaya kalau prestasi terkini dijadikan ukuran, kita mampu melihat prestasi terbaik daripada pasukan. Apa yang dinanti-nantikan adalah gandingan Bergson bersama Arif Aiman dan Faisal.
“Kita tahu rekod masing-masing di peringkat domestik dan jika digandingkan dalam skuad kebangsaan, saya percaya peminat akan disajikan dengan aksi berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Sulaiman, beliau melihat kehadiran Bergson sebagai satu tambahan yang mampu memberikan lebih pilihan kepada jentera serangan Harimau Malaya.
Katanya, kemampuan Bergson ketika bersama JDT sememangnya sudah terbukti, namun tahap keberkesanannya bersama skuad kebangsaan hanya dapat dinilai selepas pemain itu mendapat peluang beraksi.
“Bergson memang sudah terbukti ketika bersama JDT, tetapi kita belum tahu bagaimana keberkesanannya apabila bersama Harimau Malaya. Kita harap dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri,” katanya.
Dalam pada itu katanya, aspek keserasian dalam kalangan pemain juga tidak seharusnya menjadi kebimbangan utama kerana sebahagian besar pemain sudah mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau mengakui kekurangan tempoh persediaan boleh menjadi antara cabaran yang perlu diberikan perhatian oleh barisan kejurulatihan Harimau Malaya.
“Kalau ada masalah yang mungkin timbul, mungin persediaan kali ini agak terhad. Namun, pemain berpengalaman yang biasa beraksi di peringkat antarabangsa sepatutnya mampu menyesuaikan diri dengan cepat,” katanya.
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe diundi dalam Kumpulan A Divisyen yang dibarisi tuan rumah Indonesia, Singapura, Bangladesh dan Malaysia manakala Kumpulan B menampilkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.
Malaysia akan membuka saingan berdepan pasukan ranking ke-181 dunia, Bangladesh di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 September disusuli aksi berdepan Indonesia (118) juga di venue sama pada 28 September.
Bagi aksi terakhir Kumpulan A, Malaysia yang berada di kedudukan ke-136 dunia akan berdepan pasukan ranking ke-148 dunia, Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober.
Juara Kumpulan A dan juara Kumpulan B bakal berentap pada aksi final di Gelora Bung Karno pada 5 Oktober, manakala naib juara Kumpulan A dan naib juara Kumpulan B akan bertemu untuk penentuan tempat ketiga. – UTUSAN











