PETALING JAYA: Calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan perlu berani mempertaruhkan kedudukannya sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) jika benar-benar mahu membuktikan keikhlasan untuk menerajui badan induk bola sepak negara.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan Ab Ghani wajar melepaskan jawatan Presiden MFL sebelum berdepan Datuk Seri Shahril Mokhtar dalam pemilihan Presiden FAM pada Kongres FAM, Khamis ini.
Menurutnya, tindakan itu akan menjadi isyarat jelas Ab Ghani sanggup mengambil risiko yang sama seperti calon lawannya dan tidak mahu bergantung kepada kedudukan sedia ada jika gagal memenangi perebutan kerusi nombor satu FAM.
Langkah tersebut juga dilihat mampu menepis persepsi bahawa Ab Ghani masih mempunyai kedudukan yang selamat dalam struktur FAM walaupun tidak berjaya memenangi pemilihan Presiden.
“Kalau pendapat saya, beliau mesti menunjukkan keikhlasan dalam menawarkan diri sebagai Presiden FAM. Bagi menunjukkan beliau bukan sahaja ikhlas tetapi nampak ikhlas, pada saya baik beliau letak jawatan sebagai Presiden MFL.
“Kerana itu nampak kesungguhan bahawa beliau betul-betul mahu membulatkan tekad menaikkan nama FAM. Saya lihat ini satu tindakan yang ‘gentleman’.
“Tetapi ini hanya pandangan saya (letak jawatan Presiden MFL) atas dasar keikhlasan dan kejujuran untuk benar-benar menawarkan diri membantu FAM,” katanya.
Pandangan Zulakbal itu menjadi lebih signifikan apabila struktur baharu FAM memberikan kelebihan tertentu kepada Presiden MFL, apabila jawatan Naib Presiden 2 diperuntukkan secara automatik kepada individu yang memegang jawatan Presiden MFL.
Statut FAM baharu yang diluluskan pada Kongres Luar Biasa FAM pertama Jun lalu menetapkan jawatan berkenaan tidak perlu dipertandingkan, sekali gus menjadikan kedudukan Ab Ghani unik berbanding calon lain dalam pemilihan kali ini.
Ab Ghani yang juga Presiden MFL akan berdepan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar bagi merebut jawatan Presiden FAM pada 17 September ini.
Justeru, cadangan supaya Ab Ghani melepaskan jawatan Presiden MFL bukan sekadar soal kedudukan, sebaliknya dilihat sebagai ujian terhadap kesediaannya mempertaruhkan segala yang dimiliki demi mendapatkan mandat menerajui FAM.
Jika langkah itu benar-benar dilakukan, Ab Ghani bukan sahaja memasuki gelanggang pemilihan dalam kedudukan lebih seimbang dengan Shahril, malah memberi mesej bahawa pencalonannya tidak bersandarkan kepada laluan selamat dalam struktur baharu FAM. – UTUSAN










