Zii Jia terkandas di separuh akhir Terbuka Kanada

Zii Jia terkandas di separuh akhir Terbuka Kanada

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk melangkah ke perlawanan akhir tidak kesampaian, selepas tewas kepada wakil Jepun, Riki Takei pada separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Kanada di Ontario, Kanada, hari ini.

Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-60 dunia tunduk kepada Takei dalam permainan yang diheret sehingga ke rubber set 13-21, 21-18, 18-21 dalam masa 1 jam 10 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Zii Jia kini diikat dengan rekod pertemuan 1-1, selepas pemain muda Jepun yang berada di tangga ke-74 dunia tersebut menebus kekalahannya pada Terbuka Australia, bulan lalu.

Walaupun kecewa gagal mara ke perlawanan akhir, kejayaan Zii Jia melangkah sehingga ke separuh akhir Terbuka Kanada sekurang-kurangnya menyuntik semangat baharu buat pemain berusia 28 tahun itu untuk terus bangkit bagi memperbaiki kesuraman prestasi yang dialaminya sejak kembali ke gelanggang.

Zii Jia yang berehat panjang gara-gara kecederaan belakang dan kaki pada tahun lalu, hanya kembali ke gelanggang pada awal tahun ini.

Namun, bekas bintang No. 2 dunia itu terpaksa bergelut dengan kemerosotan persembahannya sehingga sering terkandas di pusingan awal pada kejohanan-kejohanan Jelajah Dunia yang disertai.

Kejayaan mara sehingga ke separuh akhir pada Terbuka Kanada yang berstatus Super 300 itu adalah pencapaian terbaik Zii Jia, musim ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN