Zi Yu cerah peluang raih dua emas di AJC

Zi Yu cerah peluang raih dua emas di BAJC

Zi Yu yang berpasangan dengan Genevie Lim membenam beregu China, Shi Si Chen-Xiang Yu Jin 21-12, 21-19 dalam masa 40 minit pada suku akhir. - IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Low Zi Yu berada di landasan terbaik merealisasikan hasratnya membawa pulang dua pingat emas selepas mara ke separuh akhir bersama rakan gandingan dalam acara beregu perempuan dan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) di Yatsushiro, Jepun, hari ini.

Dalam acara beregu perempuan, Zi Yu yang berpasangan dengan Genevie Lim membenam beregu China, Shi Si Chen-Xiang Yu Jin 21-12, 21-19 dalam masa 40 minit pada suku akhir.

Diletakkan sebagai pilihan keempat, Genevie-Zi Yu bakal berdepan laluan lebih getir menentang gandingan Jepun, Aoi Banno-Yuzu Ueno yang merupakan pilihan kedua kejohanan.

Zi Yu yang turut beraksi dalam beregu campuran berpasangan dengan Ahmad Redzuan menyingkirkan wakil Indonesia, Moses Andar Simanjuntak-Reya Azzahra Yulianti 19-21, 21-15, 21-9 dalam 49 minit.

Kejayaan tersebut menemukan Ahmad Redzuan-Zi Yu yang turun sebagai pilihan kedua dengan Sheng Ming Lin-Liang Ching Sun dari Taiwan di separuh akhir.

Kemaraan ke separuh akhir, esok, juga sekurang-kurangnya telah memastikan pingat gangsa berada di dalam gengganan dua beregu Malaysia itu.

Sementara itu, harapan untuk menyaksikan sektor perseorangan lelaki melakar sejarah mara ke peringkat empat terbaik tidak kesampaian selepas Kong Wei Xiang dan Tiew Wei Jie tewas kepada lawan masing-masing di suku akhir.

Pilihan kelapan, Wei Xiang terpaksa akur kepada Fardhan Rainanda Joe dari Indonesia 19-21, 20-22 dalam 40 minit.

Wei Jie pula kurang bernasib baik apabila dia kecundang dalam pertarungan sengit kepada wakil China, Tian Yue Hong 21-16, 19-21, 21-23 dalam masa 1 jam 3 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN