Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Kanada

Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Kanada

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya melangkah ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Kanada di Ontario, Kanada, esok.

Dalam suku akhir yang berlangsung awal pagi tadi, Zii Jia menewaskan pemain No. 45 dunia, Wang Po Wei dari Taiwan 21-15, 21-13 dalam masa 34 minit.

Pemain yang kini menghuni ranking ke-60 dunia itu akhirnya berjaya mara ke separuh akhir buat kali pertama, musim ini.

Sejak musim 2026 bermula, pencapaian terbaik Zii Jia adalah menjejakkan kaki ke suku akhir pada Thailand Masters, awal tahun ini.

Namun, selepas itu percubaan Zii Jia untuk bangkit bagi memperbaiki ranking dunianya setelah berehat panjang akibat kecederaan, tahun lalu, menemui jalan buntu apabila sering terkandas di pusingan awal.

Pada separuh akhir, pemain berusia 28 tahun yang pernah berada di ranking No. 2 dunia itu bakal berdepan Riki Takei dari Jepun.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain, Zii Jia memiliki kelebihan psikologi dengan kemenangan 1-0 berpihak kepadanya.

Namun, dia perlu berhati-hati kerana pemain muda Jepun yang berada di ranking ke-74 dunia itu bukanlah lawan yang mudah.

Zii Jia dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas Takei 15-21, 21-17, 21-16 dalam masa 1 jam 1 minit pada pusingan kelayakan Terbuka Australia, bulan lalu.

Malaysia yang tidak mempunyai ramai wakil pada Terbuka Kanada yang berstatus Super 300 itu menyaksikan Zii Jia menjadi pemain tunggal negara berjaya mara ke separuh akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN