Ahmad-Zi Yu julang gelaran Remaja Asia di Jepun

Ahmad-Zi Yu julang gelaran Remaja Asia di Jepun

Ahmad Redzuan-Zi Yu menamatkan kemarau 19 tahun selepas menjulang gelaran pada Kejohanan Remaja Asia di Yatsushiro, Jepun, hari ini. - Ihsan BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal-Low Zi Yu menamatkan penantian selama 19 tahun, selepas merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yatsushiro, Jepun, hari ini.

Diletakkan sebagai pilihan kedua, Ahmad-Zi Yu membenam cabaran beregu China, Zheng Wei Gang-Li Meng Han 21-15, 22-20 dalam masa 42 minit pada perlawanan akhir.

Kemenangan itu turut menamatkan penantian Malaysia untuk menjulang gelaran Remaja Asia selepas kali terakhir berbuat demikian menerusi Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei pada 2007.

Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia melahirkan rasa gembira selepas berhasil menjulang gelaran dalam penampilan terakhirnya pada kejohanan di peringkat remaja itu.

“Tahun ini adalah tahun terakhir saya beraksi pada kejohanan peringkat remaja kerana saya akan mencapai usia 18 tahun, alhamdulillah saya dapat capai apa yang saya hendak iaitu menang pingat emas,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan.

Mengulas lanjut mengenai kejayaannya itu, Ahmad berkata, sebelum ini, pencapaian terbaiknya ialah memenangi pingat perak dan dia tidak menjangka sama sekali dapat membawa membawa pulang pingat emas.

Ketika ditanya pula mengenai aksi berdepan Wei Gang-Meng Han, Ahmad menjelaskan, permainan dalam set kedua menjadi titik penting kepada kejayaannya bersama Zi Yu.

“Sewaktu kami mendahului 16-13, kami terlalu terburu-buru hendak menang, gementar pun ada, jadi, kami bermain dalam keadaan kelam kabut.

“Selepas itu, saya sempat berbincang dengan Zi Yu yang kami perlu sabar sikit lagi dan jangan kelam kabut, akhirnya kami berjaya,” katanya.

Selepas ini, Ahmad berkata, dia akan mengalihkan fokusnya pada Kejohanan Remaja Dunia pula yang akan berlangsung di Kaherah, Mesir pada Oktober depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN