PETALING JAYA: Badang negara, Mohamad Syahmi Nor Ghazali memecahkan tanggapan Malaysia hanya mampu menyerlah dalam kategori ringan apabila menghadiahkan pingat emas acara 94 kilogram (kg) lelaki pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Kejayaan atlet berusia 22 tahun itu turut melengkapkan dominasi luar biasa kem angkat berat negara selepas emas sebelum ini diraih Mohamad Aniq Kasdan (60kg), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), sekali gus membuktikan Malaysia kini mampu bersaing hingga ke kategori berat.
Syahmi muncul juara selepas melakukan jumlah angkatan 347kg menerusi 150kg dalam acara snatch dan 197kg dalam clean and jerk yang turut memecahkan rekod temasya, sekali gus menewaskan Alex Bellemarre dari Kanada (346kg) dan Oliver Riley Saxton dari Australia (336kg).
Mengulas kejayaannya, Syahmi mengakui kategori 94kg bukan gelanggang mudah untuk ditembusi kerana dihuni ramai atlet bertaraf dunia, namun dia percaya Malaysia juga mampu berdiri sama tinggi dengan pencabar lain.
“Saya tinggalkan segala-galanya untuk berada di sini. Saya hanya mahu buktikan saya juga mampu berjaya seperti atlet lain.
“Kategori besar ini sebenarnya sangat susah hendak dapat pingat. Lepas Hafizuddin menang emas, saya cakap dalam hati mungkin esok giliran saya pula. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya,” katanya.
Syahmi berkata, segala pengorbanan sepanjang tiga bulan menjalani latihan jauh daripada keluarga akhirnya terbalas apabila berjaya menghadiahkan pingat emas terbesar dalam kariernya setakat ini.
“Saya cuma nak ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan saya, terutama mak, abah, adik-beradik dan kawan-kawan. Pingat ini untuk mereka semua.
“Saya sudah tiga bulan tidak berjumpa ibu bapa dan terlalu rindu untuk pulang. Alhamdulillah, segala kerja keras akhirnya berbaloi,” ujarnya.
Kejayaan Syahmi bukan sahaja melengkapkan kutipan lima emas dan satu gangsa skuad angkat berat negara di Glasgow, malah mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai kuasa baharu angkat berat Komanwel yang kini bukan lagi hanya digeruni dalam kategori ringan, sebaliknya turut mampu menguasai kategori pertengahan dan berat. – UTUSAN










