EAST RUTHERFORD: Tidak sampai dua tahun selepas mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL) yang hampir menamatkan musimnya, Rodri melengkapkan kisah kebangkitan luar biasa apabila membantu Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026 sebelum dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.
Tonggak Manchester City berusia 30 tahun itu menjadi watak penting ketika Sepanyol menewaskan juara bertahan, Argentina 1-0 selepas masa tambahan, sekali gus melengkapkan koleksi trofi paling berprestij dalam kariernya yang turut merangkumi Piala Dunia, Kejuaraan Eropah, Liga Juara-Juara dan Ballon d’Or.
“Ia terasa seperti skrip yang sempurna. Saya sendiri tidak pernah menjangkakan semua ini.
“Saya mahu generasi muda melihat bahawa seorang pemain yang pernah berada di puncak, kemudian jatuh ke dalam ‘neraka’, masih mampu bangkit semula. Itulah pengajaran sebenar tentang mengatasi segala dugaan,” kata Rodri.
Rodri mengakui perjalanan kembali ke tahap terbaik bukan sesuatu yang mudah selepas ligamen lututnya koyak pada September 2024, namun dia tidak pernah membenarkan kecederaan itu mematahkan keyakinannya untuk kembali memimpin Sepanyol.
“Kami seperti berada di awan sekarang. Skuad ini memang luar biasa.
“Kami berani, dan akhirnya ganjarannya ialah Piala Dunia. Kami menewaskan Argentina yang hebat dengan Lionel Messi, pemain terbaik dalam sejarah,” katanya.
Kejayaan itu turut meletakkan Rodri sebaris legenda dunia seperti Franz Beckenbauer, Gerd Muller dan Zinedine Zidane sebagai kelompok elit pemain yang pernah memenangi Piala Dunia, Kejuaraan Eropah, Liga Juara-Juara serta Ballon d’Or.
Dalam pada itu, Pau Cubarsi melengkapkan hari gemilang La Roja apabila dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik kejohanan apabila berjaya mengemudi benteng skuad kendalian Luis de la Fuente.
Pemain pertahanan tengah berusia 19 tahun ini memainkan peranan yang sangat penting dalam kejayaan Sepanyol merangkul kejuaraan dunia dan dia berada dalam kesebelasan utama semua perlawanan La Roja di Piala Dunia 2026. – AGENSI










