LONDON: Red Bull Racing dilaporkan menawarkan kontrak baharu kepada Max Verstappen yang akan menyaksikan juara dunia empat kali itu kekal bersama pasukan tersebut sehingga penghujung musim 2029.
Menurut laporan akhbar Jerman, BILD, tawaran tersebut turut mengandungi perubahan penting apabila klausa prestasi dalam kontrak semasa Verstappen akan dimansuhkan sekiranya dia menerima perjanjian baharu itu.
Masa depan Verstappen menjadi perhatian sejak awal musim ini berikutan rasa tidak puas hatinya terhadap perubahan peraturan teknikal Formula Satu (F1), selain prestasi Red Bull yang dilihat semakin merosot.
Walaupun masih mempunyai kontrak sehingga penghujung musim 2028, Verstappen dilaporkan mempunyai klausa yang membolehkannya meninggalkan pasukan itu lebih awal sekiranya gagal berada dalam kelompok dua terbaik kejuaraan dunia menjelang cuti pertengahan musim.
Selepas menamatkan Grand Prix (GP) Hungary di tempat kedua minggu lalu, Verstappen kini menghuni tangga keenam keseluruhan, lebih 100 mata di belakang pendahulu, Kimi Antonelli.
Laporan BILD mendakwa klausa prestasi tersebut kini telah diaktifkan secara automatik, sekali gus memberi peluang kepada Verstappen membuat keputusan mengenai masa depannya sebelum Oktober ini.
Bagi memastikan pemandu berusia 28 tahun itu terus kekal di Milton Keynes, Red Bull dikatakan menawarkan pakej ganjaran yang lebih lumayan, malah rundingan itu difahamkan sudah dipertimbangkan oleh kem Verstappen sejak beberapa minggu lalu.
Perkembangan itu hadir ketika spekulasi mengenai perpindahan Verstappen ke McLaren bagi musim 2027 terus hangat diperkatakan.
Bagaimanapun, pengurus Verstappen, Raymond Vermeulen menegaskan pemandunya masih berhasrat untuk menamatkan kontraknya bersama Red Bull.
“Ramai yang membuat spekulasi mengenainya, namun hakikatnya Max mahu menamatkan tempohnya bersama Red Bull. Dia masih mempunyai kontrak sehingga 2028 dan mahu menghormati perjanjian tersebut.
“Kewujudan klausa itu tidak bermakna kami akan menggunakannya. Kami juga boleh mengaktifkannya pada tahun-tahun sebelum ini, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Verstappen enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan mengaitkannya dengan McLaren.
Dalam perkembangan sama, pemandu Haas, Ollie Bearman dikaitkan sebagai calon berpotensi menggantikan Verstappen sekiranya dia meninggalkan Red Bull. – AGENSI/UTUSAN










