Verstappen serius berunding dengan McLaren, Mercedes

Verstappen serius berunding dengan McLaren, Mercedes

Max Verstappen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Juara dunia Formula 1 (F1) empat kali, Max Verstappen mengakui pernah mengadakan perbincangan serius dengan McLaren dan Mercedes sebelum memutuskan untuk terus kekal bersama Red Bull.

Verstappen, 28, menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai masa depannya dalam saingan F1 selepas menandatangani lanjutan kontrak baharu yang lumayan bersama Red Bull.

Kontrak baharu itu, yang diumumkan menjelang perlumbaan di laman sendiri pada Grand Prix Belanda, menyaksikan pelumba kelahiran Belanda itu kekal bersama Red Bull sekurang-kurangnya sehingga penghujung musim 2030.

Dalam temubual bersama BBC Sport, Verstappen buat pertama kali mengakui secara terbuka bahawa beliau berbincang mengenai kemungkinan berpindah ke McLaren dan Mercedes sebelum memilih untuk terus bersama Red Bull.

“Sudah tentu, setiap perbualan seperti itu perlu diambil serius. Semua perbualan itu berlangsung dengan penuh rasa hormat dan tiada apa yang salah mengenainya. Saya merasakan kekal di sini adalah pilihan yang tepat untuk saya. Anda perlu mengikut kata hati.

“Saya sebenarnya boleh sahaja meninggalkan Red Bull lebih awal dalam karier saya dan berpindah ke pasukan lain untuk cuba memenangi perlumbaan. Tetapi jika anda mempunyai sedikit kesabaran, akhirnya anda akan menang juga. Saya rasa itu pendekatan saya sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Verstappen masih belum meraih sebarang kemenangan bersama Red Bull sepanjang musim 2026 yang sukar setakat ini.

“Saya sentiasa memberitahu mereka, jangan tertekan mengenainya, sebaliknya fokus membangunkan jentera. Semakin pantas kereta itu, semakin mudah keputusan untuk dibuat.

“Saya faham, mungkin ada ketika mereka sedikit bimbang. Tetapi pada masa sama, saya sendiri lebih risau mengenai apa yang sedang berlaku di sini.

“Dalam masa sama, saya juga sangat sibuk dengan urusan di luar Formula 1. Jadi, saya tidak pernah benar-benar meluangkan banyak masa untuk berbincang atau melakukan perkara lain, apatah lagi cuba mencari pasukan lain,” katanya.

Verstappen turut menegaskan bahawa bukan menjadi sifatnya untuk melarikan diri daripada cabaran apabila berdepan masa sukar.

“Saya tidak kisah dengan cabaran itu. Saya tidak mempunyai keinginan atau keperluan untuk membuktikan bahawa saya boleh menang dengan kereta lain.

“Mudah untuk berpindah ke kereta paling pantas dan mengulangi perkara sama. Tetapi itu bukan diri saya. Anda tidak boleh menjadi kapten kapal dan sebaik sahaja sesuatu tidak berjalan lancar, anda terus melompat keluar dari kapal.

“Prestasi kami memang sedikit menurun berbanding era dominan sebelum ini, tetapi saya tidak kisah untuk membina semula pasukan. Itu juga satu lagi cabaran,” katanya.-AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×