MADRID: Pendahulu kejuaraan dunia Formula Satu (F1), Andrea Kimi Antonelli mengakui Lando Norris lebih layak memenangi Grand Prix (GP) Sepanyol selepas dia meraih kemenangan kelapan musim ini secara bernasib baik.
Pelumba Mercedes itu mendapat kelebihan apabila kereta keselamatan muncul tepat pada waktunya sekali gus membolehkan Antonelli melakukan hentian pit dari kedudukan kedua dan menjimatkan masa perlumbaan.
Sebaliknya, peluang Norris untuk mempertahankan kedudukan pendahulu terjejas selepas dia terlepas peluang melakukan hentian pit, sebelum keadaan perlumbaan kembali kepada bendera hijau.
Situasi itu bertambah buruk buat juara dunia itu apabila hentian pitnya mengambil masa lebih lama, menyebabkan dia kembali ke litar di tempat kelima.
Norris bagaimanapun bangkit untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, namun gagal memintas Antonelli dan Max Verstappen daripada Red Bull berikutan kekurangan peluang memotong di litar Madring.
“Saya gembira dengan kemenangan ini, tetapi jika saya perlu bersikap realistik dan jujur, kami sebenarnya tidak layak menang hari ini (kelmarin).
“Lando layak menang dan saya fikir keputusan kami sepatutnya tempat kedua atau mungkin ketiga,” kata Antonelli.
Pelumba berusia 20 tahun itu turut mengakui kesilapan pada awal perlumbaan apabila terlalu agresif sehingga meletakkan dirinya dalam kedudukan kurang baik.
“Saya tidak melakukan tugas yang cukup baik pada permulaan perlumbaan kerana terlalu agresif dan kemudian meletakkan diri dalam kedudukan yang sukar.
“Sudah tentu ada perkara yang perlu diperbaiki, tetapi secara keseluruhan hari ini berjalan dengan baik dan saya gembira. Kami akan cuba tampil lebih baik di Baku,” katanya.
Antonelli kini mengumpul kelebihan 81 mata di puncak kejuaraan, namun enggan terlalu memikirkan peluang untuk muncul sebagai juara dunia F1 termuda.
“Itulah perkara yang saya tidak mahu lakukan. Saya mahu terus fokus perlumbaan demi perlumbaan, terus memberikan yang terbaik dan menikmati perjalanan ini.
“Saya akan cuba melakukan yang terbaik dalam setiap perlumbaan dan kemudian kita lihat di mana kedudukan kami pada penghujung tahun,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










