BUDAPEST: George Russell menarik nafas lega selepas Mercedes akhirnya mengenal pasti punca sebenar masalah pengurusan kuasa yang menjejaskan jenteranya, sekali gus menepis dakwaan pasukan itu memberi layanan istimewa kepada rakan sepasukan, Kimi Antonelli.
Pelumba Britain itu berkata, siasatan pasukan menemui ralat yang tersembunyi dalam penentu ukuran kod sistem pengurusan unit kuasa, sekali gus menyebabkan prestasi jenteranya merosot.
“Masalah itu terlalu sukar dikesan kecuali anda benar-benar tahu apa yang perlu dicari. Saya gembira kami akhirnya berjaya mengenal pastinya.
“Sudah tentu ia mengecewakan, tetapi sekarang saya hanya mahu fokus kepada perlumbaan seterusnya. Begitulah lumrah Formula Satu (F1),” katanya menjelang Grand Prix (GP) Hungary, hujung minggu ini.
Masalah berkenaan menjejaskan Russell pada GP Belgium minggu lalu apabila dia kehilangan kuasa pada pusingan pertama sebelum terbabit dalam insiden pelanggaran dengan bekas rakan sepasukan Mercedes yang kini memandu untuk Ferrari, Lewis Hamilton.
Kemenangan di Spa-Francorchamps membolehkan Antonelli melebarkan jurang kepada 50 mata di hadapan Russell dalam kedudukan kejuaraan dunia pemandu, manakala Hamilton yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat kini menghuni tangga kedua, 45 mata di belakang pelumba muda Itali itu.
Menurut Russell, cabaran mengenal pasti masalah itu menjadi lebih rumit berikutan penggunaan peraturan teknikal baharu musim ini.
“Ia hanya melibatkan nombor pada skrin komputer, tetapi dengan peraturan baharu dan pengurangan bilangan sensor di beberapa bahagian, tugas pasukan menjadi jauh lebih sukar,” katanya.
Musim ini menyaksikan F1 memasuki era hibrid baharu dengan unit kuasa dibahagikan sama rata antara enjin pembakaran dalaman dan kuasa bateri, yang memerlukan pengurusan tenaga lebih kompleks menerusi perisian komputer dibantu kecerdasan buatan (AI).
Perubahan itu mengundang kritikan beberapa pelumba, termasuk bintang McLaren, Oscar Piastri yang menyifatkan keputusan perlumbaan kini terlalu bergantung kepada sistem komputer.
Russell bagaimanapun enggan terus memikirkan episod mengecewakan di Belgium dan menegaskan jurang mata dengan Antonelli kini lebih kecil berbanding selepas GP Monaco apabila dia ketinggalan 68 mata.
Pelumba berusia 28 tahun itu turut menafikan wujud layanan istimewa terhadap Antonelli atau keretakan hubungan mereka.
“Saya tahu kedudukan saya dalam pasukan dan saya tahu bagaimana saya dihargai.
“Kimi tidak menerima layanan istimewa. Toto Wolff juga tidak mempunyai pelumba pilihan,” katanya.
Selepas 10 perlumbaan musim ini, Russell mengumpul 154 mata hasil dua kemenangan, manakala Antonelli yang sudah memenangi enam perlumbaan mendahului kejuaraan dunia dengan 204 mata. Hamilton pula berada di tangga kedua dengan 159 mata. – AFP/UTUSAN










