Russell berang hukuman Mercedes 'musnahkan' perlumbaan

Russell berang hukuman Mercedes ‘musnahkan’ perlumbaan

GEORGE Russell kelihatan kecewa ketika perlumbaan Grand Prix Monaco dihentikan sementara di Litar Jalan Raya Monaco, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTE CARLO: George Russell menyifatkan hukuman yang diterimanya pada Grand Prix (GP) Monaco sebagai tidak setimpal selepas kesilapan teknikal pasukan Mercedes menyebabkan peluangnya menamatkan perlumbaan di podium musnah begitu sahaja.

Pelumba Britain itu pada asalnya berada dalam kedudukan ketiga sebelum dikenakan penalti pandu lalu (drive-through) yang menyaksikannya tercicir ke tempat ke-14 sekali gus gagal mengutip sebarang mata.

Lebih mengecewakan, Russell menganggap situasi tersebut berlaku di luar kawalannya selepas Mercedes didakwa gagal melaksanakan penalti lima saat yang dikenakan lebih awal atas kesalahan memecut di laluan pit.

“Pertama sekali, saya sendiri tidak pasti mengapa saya dikenakan penalti kerana saya sudah mengaktifkan pengehad kelajuan sebelum garisan pit.

“Saya hanya melepaskannya selepas garisan tersebut, tetapi jelas ada masalah pada perisian dan ramai pelumba lain turut menerima penalti yang sama,” katanya.

Menurut Russell, penalti lima saat masih boleh diterima, namun kegagalan pasukan menguruskan hukuman tersebut menyebabkan beliau menerima hukuman lebih berat yang menghancurkan keseluruhan perlumbaan.

“Penalti lima saat bukanlah penghujung dunia, tetapi kemudian berlaku kekeliruan ketika pit stop sehingga saya dikenakan pandu lalu.

“Hukuman itu langsung tidak setimpal dengan kesalahan dan saya jatuh daripada tempat ketiga ke tangga ke-14,” katanya.

Russell turut mendedahkan beliau cuba mendapatkan penjelasan terus daripada pihak steward ketika perlumbaan dihentikan sementara, namun dimaklumkan bahawa peraturan tetap perlu dilaksanakan tanpa pengecualian.

Kegagalan meraih mata di Monaco menyaksikan pelumba berusia 28 tahun itu turut kehilangan kedudukan kedua keseluruhan kejuaraan dunia, manakala bos Mercedes, Toto Wolff mengakui kecewa dengan nasib Russell meskipun gembira melihat rakan sepasukannya, Kimi Antonelli muncul juara perlumbaan.

“Sebahagian daripada diri saya sangat gembira untuk Kimi, tetapi apabila melihat wajah George, saya tahu dia melalui hujung minggu yang cukup sukar.

“Namun apa yang dilakukan Kimi sangat luar biasa kerana dia mengawal perlumbaan dengan tenang, melakukan restart dengan baik dan terus membuka jurang di depan,” kata Wolff. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN