MONTREAL: Max Verstappen tidak dapat menyembunyikan rasa puas hati selepas melihat perjudian strategi McLaren memakan diri sendiri pada Grand Prix (GP) Kanada sehingga membuka laluan buatnya kembali menaiki podium.
Pasukan McLaren mencetuskan kejutan sebelum perlumbaan apabila memilih menggunakan tayar intermediate untuk kedua-dua pelumbanya, Lando Norris dan Oscar Piastri ketika hujan renyai mula turun di Montreal.
Namun percaturan berisiko itu bertukar menjadi mimpi buruk apabila cuaca kembali cerah dan litar cepat mengering sehingga memaksa kedua-dua jentera McLaren masuk awal ke pit untuk menukar tayar slick.
Keadaan itu akhirnya menghancurkan perlumbaan McLaren apabila Piastri gagal meraih mata selepas bertembung dengan Alex Albon manakala Norris pula terpaksa menarik diri akibat masalah kotak gear.
“Itu memang keputusan yang hebat, saya terus fikir ‘terima kasih’.
“Saya sendiri agak terkejut dapat berada di podium kerana McLaren pula membuat kacau dengan strategi mereka,” kata Verstappen.
Juara dunia empat kali itu bagaimanapun mengakui jentera Red Bull masih belum berada pada tahap terbaik terutama ketika menggunakan tayar medium sepanjang perlumbaan.
“Saya rasa kami lebih kompetitif dengan tayar lembut tetapi bila guna medium saya langsung tidak dapat cari cengkaman sebenar.
“Tayar seperti tidak berada dalam julat yang betul dan itu membuatkan saya sukar mendapatkan keyakinan di atas litar,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN










