LONDON: Pengurus baharu Manchester City, Enzo Maresca tidak bercadang melakukan perubahan drastik terhadap corak permainan pasukan itu, sebaliknya mahu meneruskan legasi dan falsafah yang dibina Pep Guardiola sepanjang sedekad mengemudi kelab berkenaan.
Maresca yang dilantik bulan lalu menggantikan Guardiola berkata, identiti permainan menyerang, menguasai bola dan mendominasi perlawanan akan terus menjadi tunjang utama City ketika dia memulakan era baharu di Stadium Etihad.
Bekas pengendali Leicester City dan Chelsea itu mengakui tugas menggantikan seorang jurulatih sehebat Guardiola bukan sesuatu yang mudah, namun percaya asas kukuh yang telah dibina akan membantu proses peralihan berjalan dengan lancar.
“Saya menganggap Pep (Guardiola) sebagai jurulatih terbaik dunia dalam tempoh 20 hingga 25 tahun terakhir. Ia satu cabaran besar, tetapi pada masa sama satu penghormatan untuk saya berada di sini.
“Selepas pengurus yang berkhidmat begitu lama seperti Alex Ferguson dan Arsene Wenger, memang sukar untuk individu yang datang selepas mereka. Namun saya mahu melakukan yang terbaik untuk organisasi ini, penyokong dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Maresca yang pernah berkhidmat sebagai pembantu Guardiola pada musim 2022-23 berkata, kestabilan pengurusan yang dimiliki City menjadi antara faktor utama keyakinannya untuk meneruskan kejayaan kelab tersebut.
Menurutnya, budaya dan struktur yang telah dibentuk sejak era Roberto Mancini lagi menjadi asas penting yang membolehkan City terus bersaing di peringkat tertinggi tanpa bergantung kepada seorang individu semata-mata.
“Kelab ini hanya mempunyai tiga pengurus dalam tempoh 17 tahun dan itu bukan sesuatu yang biasa dalam bola sepak moden. Sebab itu saya yakin kami boleh meneruskan apa yang telah dibina sejak sekian lama.
“Mungkin sebab utama kelab memilih saya ialah kerana mereka melihat konsep permainan yang hampir sama dengan pengurus terdahulu, iaitu agresif ketika kehilangan bola, mengawal permainan dan paling penting memenangi perlawanan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Maresca menerima tamparan awal apabila mengesahkan tonggak tengah Sepanyol, Rodri akan terlepas permulaan musim selepas dijadual menjalani pembedahan belakang susulan kecederaan yang dialaminya selepas Piala Dunia 2026.
Maresca turut menepis spekulasi yang mengaitkan pemain tengah itu dengan perpindahan ke kelab lain dan menegaskan Rodri kekal sebahagian penting dalam perancangannya.
“Rodri adalah antara pemain terbaik dunia, jadi spekulasi seperti ini perkara biasa. Dia akan menjalani pembedahan Isnin ini, kemudian berehat dan saya yakin dia akan kembali bersama kami dalam keadaan lebih kuat,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










