Klopp pikul misi perkasa skuad Jerman

Klopp pikul misi perkasa skuad Jerman

Jurgen Klopp dilantik secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan Jerman, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Jurgen Klopp dilantik secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan Jerman, semalam.

Bekas pengurus Liverpool itu, yang mencipta pelbagai kejayaan bersama Borussia Dortmund dan The Reds, telah mencapai persetujuan dengan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) untuk memimpin semula kebangkitan gergasi bola sepak Eropah itu di pentas antarabangsa.

“Kami sangat gembira dapat memperkenalkan Jurgen Klopp sebagai jurulatih baharu,” kata Presiden DFB, Bernd Neuendorf di Frankfurt.

Neuendorf berkata, kontrak Klopp akan berlangsung sehingga musim panas 2030, iaitu sehingga Piala Dunia seterusnya di Maghribi, Sepanyol dan Portugal, sambil menambah kontrak tersebut bermula 15 Ogos.

Klopp, 59, sebelum ini telah menyatakan secara terbuka hasratnya untuk mengambil alih peranan itu selepas Nagelsmann meninggalkan jawatannya.

Jerman tersingkir daripada Piala Dunia selepas tewas kepada Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti dalam pusingan 32 pasukan terbaik.

Dari 2025 Klopp berkhidmat sebagai Ketua Bola Sepak Global Red Bull dengan menyelia ope­rasi bola sepak beberapa kelab di bawah syarikat itu, termasuk RB Leipzig, Red Bull Salzburg dan New York Red Bulls.

Media Jerman melaporkan Red Bull bersetuju melepaskan Klopp tanpa sebarang bayaran pampasan.

Sebagai balasan, DFB dijang­ka menyalurkan sumbangan sebanyak satu juta euro (AS$1.1 juta) kepada yayasan amal Wings for Life milik Red Bull yang menyokong penyelidikan kecedera­an saraf tunjang.

DFB membuat keputusan mencari pengendali baharu selepas memecat Nagelsmann susulan kegagalan memalukan Jerman pada Piala Dunia.

Kekalahan itu menyaksikan Jerman melalui tiga kempen Pia­la Dunia yang mengecewakan berturut-turut sejak muncul juara dunia buat kali keempat pada 2014.

Mereka tersingkir seawal pusingan pertama pada edisi 2018 dan 2022, selain hanya menca­tat satu kemenangan dalam aksi kalah mati pada lima kejohanan utama terakhir dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir­ Euro 2024 selaku tuan rumah.

Klopp memulakan karier kejurulatihannya bersama Mainz, kelab yang turut diwakilinya sebagai pemain selama lebih sedekad, sebelum mencipta nama bersama Borussia.

Beliau kemudian mengukir status legenda di Liverpool apabila menamatkan kemarau kejua­raan liga selama 30 tahun dengan menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris pada 2020 dan turut menghadiahkan trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali keenam dalam sejarah kelab itu.

Atas faktor keletihan, Klopp mengundurkan diri dari Liverpool pada 2024. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN