Kemaraan Jimmy-Su Yin disekat beregu Hong Kong

Kemaraan Jimmy-Su Yin disekat beregu Hong Kong

Jimmy Wong-Cheng Su Yin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemaraan beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin terhenti selepas tewas kepada gandingan No. 8 dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet pada separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, hari ini.

Pasangan yang kini menghuni ranking ke-118 dunia itu terpaksa akur kepada wakil Hong Kong 21-17, 18-21, 15-21 dalam masa 1 jam 9 minit.

Pertemuan itu adalah yang pertama membabitkan kedua-dua beregu dan walaupun tewas, Jimmy-Su Yin masih bermain baik serta semakin menunjukkan keserasian sejak digandingkan bersama Mei lalu.

Jimmy berkata, dia kecewa dengan kekalahan tersebut, tetapi, tetap berasa bangga kerana mengambil kira pencapaian mereka berjaya mara sehingga ke separuh akhir pada kejohanan berstatus tinggi itu.

“Saya bangga tetapi kecewa, set kedua kami mendahului tiga mata tetapi disebabkan terlalu hendak menang kami buat kesilapan.

“Lawan kami pula beregu berpengalaman dan mereka tahu bagaimana hendak mengendalikan tekanan.

“Kami masih baharu dan sikap terburu-buru kami buka pintu kepada lawan ambil kesempatan,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Kejayaan melangkah sehingga ke separuh akhir pada kejohanan berstandard Super 750 itu, bakal melonjakkan ranking beregu muda tersebut ke dalam kelompok 100 terbaik dunia.

Sebaik ranking dikemas kini oleh BWF, Selasa ini, Jimmy-Su Yin dijangka naik ke tangga No. 74 dunia.

Minggu depan Terbuka China akan membuka tirai, memandangkan kejohanan itu berstatus Super 1,000, maka, Jimmy-Su Yin masih belum mampu melayakkan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN