MIAMI: Kegagalan melangkah ke pentas final Piala Dunia 2026 meninggalkan kesan mendalam buat England namun pengendalinya, Thomas Tuchel menuntut skuad Three Lions segera bangkit demi memastikan mereka menamatkan kempen dengan nota positif apabila berdepan Perancis pada aksi penentuan tempat ketiga, esok.
Kekalahan 1-2 kepada Argentina pada separuh akhir memusnahkan impian England untuk menamatkan kemarau kejuaraan dunia yang berlarutan sejak 1966, sekali gus memaksa mereka beraksi dalam perlawanan yang dianggap ramai sebagai pentas pengubat duka.
Bagi Tuchel, perlawanan di Stadium Hard Rock, Miami itu tetap mempunyai nilai tersendiri kerana ia memberi peluang kepada England menamatkan kejohanan sebagai pasukan ketiga terbaik dunia.
Pengendali dari Jerman itu mengakui sukar untuk mengembalikan motivasi pemain selepas mereka begitu hampir untuk melangkah ke final, namun percaya skuad kendaliannya memiliki karakter yang cukup kuat untuk bangkit daripada kekecewaan tersebut.
“Tiada seorang pun pemain England atau Perancis mahu bermain dalam perlawanan ini. Mereka mahu beraksi di final. Kami sudah memberikan segala-galanya untuk mara ke final.
“Bagaimanapun, kami masih mewakili England. Kami perlu menunjukkan karakter, menghormati pertandingan ini dan menamatkan kejohanan dengan keputusan yang positif,” kata Tuchel.
Walaupun gagal mencapai sasaran utama, kempen England di Amerika Utara tetap boleh dibanggakan apabila mereka sekali lagi membuktikan kemampuan bersaing dengan pasukan terbaik dunia.
Kehadiran Tuchel sejak mengambil alih pasukan turut memberikan nafas baharu kepada Three Lions yang mempamerkan disiplin taktikal lebih kemas sepanjang kejohanan, selain berjaya menyingkirkan beberapa lawan sukar untuk mara ke kelompok empat terbaik.
Aksi menentang Perancis juga dilihat sebagai peluang terbaik buat beberapa pemain England menebus kekecewaan selepas terlepas peluang beraksi di final.
Kapten Harry Kane dijangka sekali lagi menjadi sandaran utama jentera serangan, manakala Jude Bellingham diharap mampu mencetuskan inspirasi dari bahagian tengah.
England bagaimanapun sedar mereka berdepan cabaran besar kerana Perancis turut hadir dengan motivasi yang sama.
Justeru, walaupun status perlawanan itu tidak setanding final antara Argentina dan Sepanyol, pertembungan England dan Perancis tetap menjanjikan aksi berintensiti tinggi.
Buat England, kemenangan bukan sekadar menghadiahkan tempat ketiga tetapi juga menjadi simbol kebangkitan dan pulang dengan bermaruah.-AGENSI










