Sentuhan Bauhaus beri ‘nyawa’ kepada kediaman

Sentuhan Bauhaus beri ‘nyawa’ kepada kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kediaman mempunyai identiti yang tersendiri bergantung kepada citarasa serta personaliti pemiliknya.

Ada yang menggemari konsep minimalis yang ringkas manakala ada juga yang memilih sentuhan dekorasi yang lebih berani bagi mewujudkan suasana kediaman yang penuh karakter.

Bagi pasangan ini, pilihan mereka lebih cenderung kepada konsep yang berani dan mempunyai identiti tersendiri.

Memilih konsep Bauhaus dan eclectic industrial, rumah ini menampilkan gabungan warna-warna terang bersama elemen metal yang menjadikan keseluruhan ruang kelihatan lebih ceria dan unik.

Menurut Nur Azira Razlan dan Mohamad Hazrul Aiman Muda, mereka berkata, pemilihan konsep tersebut hadir daripada keinginan untuk menghasilkan kediaman yang lebih berani.

Mereka berkata, ia memberi sedikit kelainan berbanding dekorasi rumah mereka yang terdahulu yang banyak menggunakan elemen kayu serta tona yang berwarna coklat.

“Kami memilih tema ini kerana ia menampakkan setiap sudut dan ruang lebih ceria, berkarakter dan unik. Tema ini membuatkan rumah kami tidak terlalu kelihatan minimalis dan kosong,” katanya.

Ujarnya, idea dekorasi kebanyakkan diperoleh melalui platform Tiktok dan Pinterest namun terdapat juga idea yang hadir secara spontan.

“Kami tidak ikut 100 peratus mana-mana konsep cuma kami lebih gemar menggabungkan pelbagai idea dekorasi mengikut citarasa kami sendiri yang bertepatan dengan bajet kewangan kami,” ujarnya.

Berbelanja Mengikut Kemampuan

Bagi memastikan perbelanjaan lebih terkawal, Nur Azira dan suami memilih untuk menghias kediaman mereka secara perlahan-lahan sejak berpindah masuk pada Disember tahun lalu.

Justeru, setiap pembelian dilakukan mengikut bajet yang ditetapkan dengan hanya membeli perabot yang benar-benar diperlukan serta berbaloi dari segi harga.

Bagi kabinet dapur pula, mereka memilih untuk menangguhkan pemasangannya terlebih dahulu kerana ingin memberi keutamaan kepada perbelanjaan lain dalam proses dekorasi rumah. Semua perancangan dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan dan keutamaan semasa.

“Sekiranya jumpa barang yang kami berkenan dan harganya berbaloi baru kami akan beli. Jadi, kos lebih terkawal kerana tidak perlu keluarkan duit yang banyak dalam satu masa,” katanya.

Menurutnya, proses menghias rumah ini masih berjalan sehingga ke hari ini kerana proses dekorasi ini sesuatu perkara yang sentiasa berkembang mengikut masa, idea serta penemuan barang yang baharu bersesuaian dengan konsep rumahnya.

Ruang Tampak Unik Dengan Barangan Terpakai

Nur Azira berkata, 70 peratus dekorasi di dalam rumahnya merupakan barangan terpakai yang dibeli secara dalam talian atau di kedai perabot terpakai.

Malah, mereka juga turut mendapatkan pelbagai perabot dan aksesori daripada jenama IKEA termasuk barangan terpakai dari jenama tersebut.

“Kami memang suka cari di kedai perabot terpakai atau secara dalam talian melalui platform Carousell dan Facebook Marketplace sebab lebih mesra poket.

“Bagi kami, tidak semestinya semua perabot perlu dibeli baharu. Yang penting, bijak memadankan setiap elemen supaya keseluruhan ruang kelihatan cantik, harmoni dan menepati cita rasa sendiri, sambil berjimat,” katanya.

Walaupun banyak berjimat melalui pembelian barangan terpakai, Nur Azira mengakui ruang tamu merupakan bahagian yang menelan kos paling tinggi dalam keseluruhan proses dekorasi rumah.

Menurutnya, perbelanjaan terbesar di ruang tersebut ialah pembelian sofa Joey yang telah lama diidamkan. Selain itu, mereka turut mendapatkan karpet serta beberapa perabot utama yang dibeli baharu bagi melengkapkan suasana ruang tamu.

Dapur Impian Jadi Ruang Kesayangan

Meskipun ruang tamu mengeluarkan kos yang paling tinggi, Nur Azira memilih dapur sebagai ruang yang paling dekat di hatinya.

Mereka memilih konsep raw design bagi ruang di dapur kerana menggemari kemasan yang ringkas selain mempunyai identiti tersendiri sekaligus melengkapkan konsep keseluruhan rumah mereka.

“Sebab itu kami buat permukaan menggunakan simen sahaja tanpa jubin dan banyak menggunakan peralatan yang diperbuat daripada keluli tahan karat,” ujarnya.

Nur Azira berkata, ruang dapur itu mempunyai nilai sentimental kerana ia merupakan antara impian yang telah lama diidamkan sejak sebelum mereka memiliki rumah sendiri.

“Ruang dapur ini memang antara impian kami sejak sebelum ada rumah sendiri lagi jadi apabila dapat realisasikan memang rasa puas hati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN