BUKAN mudah untuk seorang ibu menerima hakikat anaknya yang baharu berusia dua tahun menderita kanser.
Begitulah pengalaman getir dilalui model dan pempengaruh, Nara Smith, apabila anak perempuannya, Whimsy Lou, disahkan menghidap penyakit kronik itu selepas keluarganya mendapatkan nasihat perubatan.
Nara menceritakan kembali detik dia mula bimbang sesuatu yang serius berlaku terhadap Whimsy, selepas reaksi seorang doktor semasa pemeriksaan membuatkan hatinya berdebar, sebelum ujian lanjut mengesahkan anaknya menghidap kanser pada penghujung tahun lalu.
Wanita berusia 24 tahun itu berkongsi kisah tersebut menerusi video di Instagram bulan lalu, sambil menjelaskan perkara itu menjadi punca dia kini mengurangkan aktiviti di media sosial.
Nara berkata, diagnosis Whimsy bermula selepas keluarga mereka menyedari sesuatu yang mencurigakan sebelum mendapatkan pemeriksaan perubatan.
Doktor pada awalnya tidak dapat mengenal pasti punca keadaan tersebut dan kemudian Whimsy dirujuk kepada pakar pediatrik. Namun, reaksi doktor ketika pemeriksaan itu menjadi detik yang mengubah segalanya buat Nara, apabila dia mula mengesyaki anaknya mungkin berdepan masalah kesihatan serius.

“Saya masih ingat dia (doktor) tiba-tiba menjadi diam dan tenang, dan saya terus berasa tidak sedap hati pada saat itu,” katanya.
Nara menjelaskan, dia tidak pasti sama ada perasaan itu datang daripada naluri atau gerak hati seorang ibu, namun perkara pertama yang terlintas dalam fikiran adalah anaknya mungkin menghidap kanser.
Whimsy menjalani beberapa pemeriksaan termasuk imbasan sinar-X, ultrabunyi dan biopsi sebelum doktor mengesahkan diagnosis berkenaan dan menyarankan untuk segera memulakan rawatan kemoterapi.
Bagaimanapun, Nara tidak mendedahkan jenis kanser yang dihidapi Whimsy atau berkongsi maklumat lanjut mengenai keadaan kesihatan anaknya ketika ini.
DETIK PALING SUKAR
Seminggu selepas mendedahkan khabar duka itu, Nara dalam hantaran pada 7 Julai kembali berkongsi kompilasi video yang menunjukkan rambut anaknya mula gugur.
“Kanser membuatkan kita bersedih atas kehilangan perkara kecil yang sebelum ini tidak pernah kita fikirkan. Pada hari saya mengusap rambutnya dengan jari, helaian rambut mula melekat di tangan,” katanya.

Menurut Nara, melihat Whimsy kehilangan rambutnya merupakan antara detik paling sukar sepanjang perjalanan mereka menghadapi penyakit itu.
Bagi Nara, keguguran rambut anak kecilnya menjadi tanda fizikal yang mengingatkan keluarga mereka tentang cabaran besar yang dilalui.
“Ia bukan sekadar rambut. Ia adalah keriting kecil yang saya selitkan di belakang telinganya, helaian rambut halus yang terkena cahaya matahari, serta semua detik biasa yang tidak pernah saya sangka akan saya rindui.
“Di situ saya sedar saya mungkin tidak akan menyikat rambut Whimsy lagi untuk tempoh yang lama. Rambut yang melekat pada bantal dan jari selepas mandi menjadi petanda kehidupan kami kini berubah,” katanya.
Nara berkata sokongan daripada ibu bapa lain, forum dalam talian serta keluarga yang ditemuinya ketika kunjungan ke hospital banyak membantunya menghadapi proses rawatan anaknya.










