Kebanyakan pemilik haiwan peliharaan memilih hotel kucing sebagai tempat penjagaan sementara apabila perlu meninggalkan si bulus selama beberapa hari atau minggu.
Namun, berbeza dengan kisah seekor kucing bernama Mika yang menetap di sebuah hotel kucing selama tiga tahun enam bulan sebelum akhirnya kembali ke pangkuan pemiliknya.
Tempoh yang panjang itu menjadikan Mika bukan sekadar pelanggan di Pusak Pet House, malah sudah dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga oleh seluruh warga hotel kucing berkenaan.
Menurut pemilik Pusak Pet House di Kota Bharu, Kelantan, Ayu Rahim, Mika mula dihantar ke hotel itu pada awal Disember 2022.
Ketika itu, pemiliknya mempunyai komitmen kerja serta beberapa urusan peribadi di Kuala Lumpur sehingga menyebabkan dia jarang pulang ke kampung.
Meskipun berjauhan, pemilik Mika tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap haiwan kesayangannya.

“Pemiliknya pernah beritahu supaya kami terus menjaga Mika kerana dia tidak sanggup menyerahkannya kepada orang lain. Setiap hujung bulan, dia akan membuat bayaran bagi kos penjagaan termasuk perkhidmatan dandanan, rawatan kutu dan ubat cacing.
“Dia cuma minta kami hantar video Mika sebulan sekali kerana bimbang jika melihatnya setiap hari, perasaan rindunya akan menjadi lebih mendalam,” katanya kepada Seri.
Menjadi keluarga
Sepanjang tiga tahun enam bulan menetap di hotel itu, Mika menjalani rutin harian seperti kucing lain yang ditempatkan di situ.
Setiap hari, dia diberi makan mengikut jadual, air minumannya ditukar secara berkala dan kotak pasir dibersihkan dua kali sehari bagi memastikan kebersihan serta keselesaannya sentiasa terjaga.
Namun, tempoh penjagaan yang panjang itu mengeratkan hubungan Mika dengan semua staf sehingga dia bukan lagi dianggap sebagai pelanggan, sebaliknya sebahagian daripada keluarga mereka.
“Kalau panggil nama dia, dia terus datang. Bila kami ada masa terluang, kami akan lepaskan dia bermain di kawasan hotel sebab dia memang sudah biasa di sini.
“Sepanjang Mika bersama kami, dia juga tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan,” katanya.
Menurut Ayu, Mika mempunyai sifat yang sangat baik, mudah dijaga dan tidak agresif terhadap orang sekeliling.

Malah, Mika juga mempunyai selera yang agak unik apabila lebih menggemari makanan berasaskan ayam berbanding ikan.
Namun, Mika kurang gemar berada bersama anak-anak kucing kerana sering menunjukkan reaksi kurang senang apabila bertemu si bulus yang lebih kecil.
Mempunyai pelbagai gelagat
Sepanjang menetap di hotel itu, Mika tidak pernah lekang daripada menceriakan hari-hari staf dengan pelbagai gelagat yang mencuit hati.
Antara gelagat yang paling mencuri perhatian ialah apabila dia bijak mengenali waktu makan.
Setiap kali terdengar bunyi bekas makanan atau langkah kaki staf yang membawa makanan, Mika akan segera berdiri di hadapan pintu biliknya sambil menunggu dengan penuh sabar.
Selain itu, riak wajahnya yang seolah-olah sedang “bersembang” dengan staf sering mengundang gelak tawa sehingga mereka tidak dapat menahan diri daripada mengusik dan memeluk si bulus berbadan gempal itu.
“Mika juga ada staf kegemarannya. Disebabkan staf kami bertukar syif di beberapa cawangan, dia mengenali hampir semua orang. Tetapi ada beberapa staf yang lebih rapat dengannya kerana lebih kerap menjaganya,” katanya.
Menjaga kebajikan dan emosi
Bagi memastikan Mika sentiasa berada dalam keadaan sihat sepanjang menetap di hotel itu, pihak Pusak Pet House bukan sahaja menitikberatkan aspek pemakanan dan kebersihan, malah turut memberi perhatian terhadap keperluan emosinya.
Ayu berkata, semua staf akan meluangkan masa untuk berinteraksi dengan setiap kucing yang ditempatkan di situ kerana percaya haiwan juga memerlukan perhatian, kasih sayang dan sentuhan daripada manusia.
“Kami sentiasa bercakap dan menyapa mereka. Kucing juga boleh berasa sunyi apabila berjauhan daripada pemilik, jadi perhatian daripada manusia sangat penting,” katanya.
Menurutnya, cabaran terbesar adalah memastikan rutin penjagaan dapat dikekalkan secara konsisten setiap hari agar Mika sentiasa aktif, sihat dan tidak mengalami tekanan walaupun tinggal di hotel untuk tempoh yang lama.
Perpisahan yang mengundang air mata
Selepas lebih tiga tahun bersama, tiba masanya Mika pulang semula kepada pemiliknya.

Menurut Ayu, mereka sama sekali tidak menyangka akan menerima mesej daripada pemilik Mika yang memaklumkan hasrat untuk menjemput si bulus itu pada keesokan harinya.
Sebelum diserahkan, Mika dimandikan dan didandankan buat kali terakhir, manakala semua staf mengambil peluang merakam gambar serta video sebagai kenangan bersama kucing yang sudah dianggap seperti ahli keluarga itu.
“Suasana hari itu memang sangat emosional. Ada staf yang memeluk Mika buat kali terakhir dan ada juga yang menitiskan air mata.
“Kami gembira kerana akhirnya dia dapat kembali bersama pemiliknya, tetapi dalam masa yang sama terasa seperti melepaskan seorang ahli keluarga,” katanya.
Selepas Mika pulang, bilik yang selama ini menjadi tempat tinggalnya terasa kosong.
Malah, ada staf yang secara spontan masih mencari Mika ketika melakukan rondaan harian kerana sudah terlalu terbiasa dengan kehadirannya.
“Kami semua juga perlu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan ketiadaannya,” ujarnya.
Bagi Ayu, pengalaman menjaga Mika bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai pengusaha hotel kucing, malah mengajar mereka tentang nilai amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh setiap pemilik haiwan.
“Apabila seseorang menyerahkan haiwan kesayangannya kepada kita, itu adalah satu amanah yang sangat besar,” katanya.










