SEPANG: Cadangan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mewujudkan tempat duduk khas ‘Hakim Danish Tribune’ pada Grand Prix (GP) Malaysia, hujung tahun ini, menjadi pembakar semangat buat pelumba Moto3 negara itu memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri kelak.
Hakim Danish berkata, hasrat yang disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif itu disifatkannya sebagai satu rezeki yang tidak disangka-sangka, selain meningkatkan motivasinya menjelang perlumbaan di laman sendiri.
“Sayapun baru tahu mengenai mengenai tribune khas itu. Alhamdulillah, rezeki dan terima kasih kepada Encik Shafriman atas penghargaan ini.
“Ia memberi motivasi dan semangat kepada saya untuk berlumba di Sepang pada hujung Oktober nanti. Sudah tentu saya mahu memberikan yang terbaik di depan penyokong Malaysia,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas pula mengenai prestasinya pada separuh musim dalam Kejuaraan Dunia Moto3, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mengakui pencapaian tersebut cukup bermakna selepas mengharungi pelbagai cabaran sejak awal musim.
“Sejujurnya saya memang sangat gembira. Pada awal musim saya langsung tidak menjangkakan mampu menjadi pemenang Grand Prix.
“Saya pernah terjatuh dan melalui beberapa detik sukar, tetapi saya tidak berputus asa. Setiap perlumbaan saya cuba memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik. Alhamdulillah, kemenangan itu menjadi kenangan yang tidak akan saya lupakan sepanjang karier,” ujarnya.
Menyentuh pula persaingannya merebut gelaran Rookie of the Year, Hakim Danish lebih selesa memilih untuk tidak terlalu memikirkannya dan hanya mahu mengekalkan prestasi konsisten sepanjang musim.
“Saya tidak letakkan harapan terlalu tinggi untuk gelaran itu. Fokus saya adalah kekal konsisten dalam setiap perlumbaan. Jika dapat melakukannya, insya-Allah peluang untuk mengejar gelaran Rookie of the Year akan datang dengan sendiri,” katanya.
Hakim Danish turut memuji komitmen penuh pasukannya yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang musim, selain menegaskan hubungan baiknya dengan pelumba Indonesia, Veda Pratama, tidak pernah terjejas walaupun sering dibandingkan oleh penyokong di media sosial.
“Kami memang berkawan baik, malah ketika di Jerman kami sempat makan malam bersama. Apa yang diperkatakan netizen tidak mengganggu psikologi saya kerana kami tahu hubungan kami seperti biasa,” jelasnya.
Sementara itu, Azhan Shafriman ketika diminta mengulas mengenai cadangan mewujudkan ‘Hakim Danish Tribune’ berkata, bagi orang ramai yang masih belum beli tiket GP Malaysia berpeluang untuk berbuat demikian dalam masa terdekat ini.
“Insya-Allah, kita akan adakan satu tribune khas untuk Hakim Danish. Jadi sesiapa yang belum beli tiket, boleh tunggu atau beli sekarang dan tukar kemudian untuk tribune Hakim Danish.
“Saya ingin memanggil semua rakyat Malaysia datang ke MotoGP tahun ini untuk memeriahkan suasana di Sepang dan menyokong wira negara kita,” katanya.
Tambahnya, buat masa ini, perancangan awal untuk tribune tersebut akan berada berdekatan dengan ‘Main Grandstand’ dan kelebihan di tempat duduk itu, peminat berpeluang menyaksikan perlumbaan dari sudut hadapan. –UTUSAN










