SEPANG: Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin memohon kepada peminat sukan permotoran tanah air agar menghentikan kritikan terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung isu peruntukan untuk pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli.
Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu melahirkan rasa terkilannya terhadap beberapa isu yang menjadi tular di media sosial sehingga meletakkan KBS dalam posisi yang tidak baik selepas kemenangan Hakim Danish di Litar Mugello, Itali, baru-baru ini.
“Saya rasa sedikit terkilan atau tidak senang dengan beberapa fakta yang keluar (di media sosial) yang meletakkan KBS dalam posisi yang tidak baik selepas kemenangan Hakim Danish, baru-baru ini.
“Saya nak tegaskan di sini bahawa KBS memang bersama kami sejak hari pertama lagi program (pembangunan) ditubuhkan bersama SIC,” katanya kepada pemberita sewaktu menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari ke garaj SIC Racing di sini, hari ini.
Hubungan kurang harmoni antara KBS dan peminat setia sukan permotoran negara berlaku selepas kementerian itu melalui Timbalannya, Mordi Bimol mengumumkan tiada peruntukan untuk pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu pada tahun ini.
Ekoran kenyataan tersebut, telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminat yang berpendapat KBS pilih kasih dan sewaktu Hakim Danish memenangi tempat ketiga di Mugello, ucapan tahniah kementerian itu menerusi akaun Facebook telah disalah ertikan sebagai hendak menumpang populariti pelumba tersebut.
Maklum balas daripada Zulfahmi dapat difahami kerana KBS telah banyak membantu program pembangunan pelumba di peringkat akar umbi menerusi Kejuaraan MiniGP Malaysia yang kini dikenali sebagai MiniMoto.
Menerusi sokongan dana yang disalurkan KBS, sebanyak RM8.93 juta telah diperuntukkan untuk program pembangunaan Hakim Danish sejak 2021 hingga 2025.
Untuk tahun ini pula, KBS menyalurkan sokongan kewangan sebanyak RM1.8 juta buat Hakim Danish dan juga pelumba-pelumba muda lain bagi memastikan program pembangunan yang dibina selama lima tahun dapat berjalan dengan baik.
Selain itu, SIC juga telah menyediakan sebanyak RM453,000 melalui dana dalaman untuk memastikan karier Hakim Danish dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dapat berjalan lancar.
Menurut Zulfahmi, dengan penyambungan kontrak MotoGP selama lima tahun yang diumumkan, hari ini, diharap program pembangunan pelumba muda berterusan dan dapat melahirkan lebih ramai lagi pelumba berbakat seperti Hakim Danish.
“Saya sangat gembira dengan kehadiran YB (Taufik) hari ini ke garaj kami. Inilah tempat kami bertungkus-lumus setiap hari untuk melahirkan pelumba. Berita penyambungan kontrak MotoGP selama lima tahun lagi adalah inspirasi besar untuk pembangunan bakat,” tegasnya. – UTUSAN










