PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-12, walaupun bermula dari barisan hadapan pada Grand Prix (GP) Motosikal Jerman di Litar Sachsenring, Jerman, hari ini.
Anak jati Terengganu yang bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu melakar masa 33 minit 19.287 saat (s) dalam perlumban 23 pusingan tersebut.
Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo dinobatkan selaku juara dengan catatan masa terpantas 33:02.694s dan sekali gus, meletakkan dirinya berada di landasan terbaik memburu gelaran Rookie of the Year.
Pendahulu Kejuaraan Dunia Moto3, Maximo Quiles yang bernaung di bawah pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team berada di kedudukan kedua (33:02.757s), manakala, tempat ketiga menjadi milik pelumba Level UP-MTA, Matteo Bertelle (33:07.747s).
Keputusan tersebut juga menyaksikan Hakim Danish hanya mampu menokok empat mata dan jatuh ke tangga ketujuh dengan 86 mata dalam senarai keseluruhan pelumba Moto3.
Quiles dari Sepanyol mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas selepas mengumpul 231 mata, sementara rakan senegaranya, Uriarte di tempat kedua dengan 127 mata dan seorang lagi pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe yang berada di tangga ketiga mengutip 126 mata.
GP Jerman merupakan pelumbaan terakhir bagi separuh musim pertama untuk tahun 2026 dan kejuaraan dunia akan disambung semula pada GP Great Britain, 7-9 Ogos depan.
Menilai pencapaian separuh musim yang dicatat Hakim Danish, pelumba muda negara itu melakar keputusan cemerlang pada penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
Dengan dua keputusan podium iaitu di kedudukan ketiga pada GP Itali di Litar Mugello dan muncul juara GP Republik Czech di Litar Brno, kerja keras Hakim Danish harus diberi pujian.
Aksi konsisten telah dipamerkan Hakim Danish selepas 11 pusingan dan hanya dua perlumbaan gagal menjelmakan mata buat pelumba berusia 18 tahun tersebut iaitu di Thailand serta Hungary. – UTUSAN










