Hakim Danish kini duduki No. 6 dunia

Hakim Danish kini duduki No. 6 dunia

Hakim Danish mempamerkan prestasi cemerlang pada musim pertamanya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dengan dua keputusan podium berjaya diraihnya setakat ini. - Gambar Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada siapa yang menduga Hakim Danish Ramli mampu melangkah jauh pada penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, selepas anak muda itu berjaya menempatkan dirinya di kedudukan keenam dalam senarai keseluruhan pelumba Moto3.

Mengumpul 82 mata selepas 10 pusingan berakhir, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berpotensi memperbaiki kedudukannya jika terus mempamerkan prestasi konsisten dalam 12 pusingan berbaki dengan aksi di Sachsenring, Jerman pada 10-12 Julai menanti pelumba itu.

Hakim Danish berkata, perlumbaan pada Grand Prix (GP) Belanda di Litar Assen, hujung minggu lalu, sangat mencabar dan dia terpaksa memberikan tekanan maksimum pada setiap pusingan sehingga ke garisan penamat.

“Saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh. Saya melakukan permulaan yang baik dan cuba memotong seorang demi seorang pelumba untuk berada dalam kelompok hadapan.

“Saya juga cuba mengejar Maximo Quiles dan David Almansa, namun rentak mereka lebih pantas berbanding saya,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut pelumba berusia 18 tahun itu, dalam lima pusingan terakhir, dia mula berdepan masalah dengan tayar belakang dan cuba mempertahankan kedudukan untuk terus bersaing bagi merebut podium, tetapi malangnya tidak berjaya.

“Saya akan jadikan perlumbaan ini sebagai pengalaman untuk terus belajar dan memperbaiki kelemahan. Saya mahu membawa segala pengajaran yang diperoleh hari ini ke perlumbaan seterusnya,” ujarnya.

Hakim Danish berkata, secara keseluruhannya, dia gembira dengan prestasinya ketika ini dan akan terus bekerja keras demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, perlumbaan di Assen sememangnya sesuatu yang membanggakan, walaupun bermula dari petak ke-16, Hakim Danish berjaya bersaing bersama kelompok hadapan.

“Ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan di litar yang sangat teknikal seperti Assen. Dia menunjukkan peningkatan yang sangat baik. Saya juga sudah berbincang dengan pasukan dan mereka semua amat gembira dengan keputusan yang dicapai,” katanya.

Tambah Zulfahmi, berada di kedudukan keenam keseluruhan, satu pencapaian yang sangat baik dan sejujurnya beliau sendiri tidak menjangkakan Hakim Danish mampu berada pada tahap sekarang.

Kapsyen
HAKIM Danish (depan) mempamerkan prestasi cemerlang pada musim pertamanya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dengan dua keputusan podium berjaya diraihnya setakat ini. – IHSAN SIC Racing

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN