PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengekalkan aksi konsisten selepas melakar masa ketiga terpantas pada sesi kelayakan 2 (Q2) Grand Prix Motosikal Jerman di Litar Sachsenring, Jerman, semalam.
Anak jati Terengganu yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencipta masa sepusingan 1 minit 24.909 saat (s) yang sekali gus menyaksikan dia bakal memulakan perlumbaan, esok, dari barisan hadapan.
Seteru ketat Hakim Danish, Brian Uriarte dari Red Bull KTM Ajo muncul pelumba terpantas dengan catatan masa 1:24.880s, manakala, pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Marco Morelli di tempat kedua dengan ciptaan masa 1:24.904s.
Kejayaan menempatkan dirinya di kelompok hadapan, meletakkan Hakim Danish berada di landasan terbaik untuk memburu podium ketiganya musim ini.
Pelumba berusia 18 tahun itu juga kini menghuni tangga kedua dalam perebutan gelaran Rookie of the Year dengan 82 mata, hanya dipisahkan 20 mata di belakang pendahulu, Uriarte dari Sepanyol.
Seandainya Hakim Danish mampu mengulangi pencapaian cemerlang seperti yang dilakukannya di Mugello, Itali dan Brno, Republik Czech, anak muda itu berpotensi mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok enam terbaik keseluruhan dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
Hakim Danish ketika ditemu bual selepas Q2 berakhir berkata, untuk sesi kelayakan, dia tidak menjangka sama sekali berjaya menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
“Dalam kelayakan tadi saya berasa sangat baik dengan jentera, saya nak ucap terima kasih kepada pasukan kerana berjaya mendapatkan pelarasan yang bagus untuk motosikal saya,” katanya.
Selepas bergelut dengan prestasi jentera pada sesi latihan bebas kedua, Hakim Danish memberitahu, pasukannya bekerja keras bagi mencari formula terbaik untuk pusingan kelayakan.
“Saya sedikit bergelut untuk masuk di selekoh dengan kelajuan, tetapi, pada kelayakan, pasukan akhirnya menemui pelarasan yang baharu dan berjaya memperbaiki masalah tersebut.
“Untuk esok (hari ini), saya akan cuba buat permulaan yang baik bagi mengekalkan kelajuan jentera saya dan paling penting saya perlu berusaha uruskan tayar dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN










