MILAN: Itali dilaporkan semakin hampir memuktamadkan pelantikan Andrea Pirlo sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan selepas Pep Guardiola menolak peluang untuk mengendalikan skuad Azzurri.
Menurut laporan akhbar harian La Repubblica, Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) telah mencapai persetujuan dengan Pirlo menerusi kontrak selama empat tahun bagi memulakan era baharu buat skuad yang sedang bergelut dengan krisis keyakinan.
Pelantikan Pirlo hadir ketika bola sepak Itali berdepan tempoh paling mencabar dalam beberapa dekad selepas gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, sesuatu yang sukar diterima oleh penyokong negara yang pernah menjulang empat kejuaraan dunia.
Pirlo bukanlah nama asing dalam arena bola sepak Itali, beliau telah memainkan peranan penting membantu negaranya menjulang trofi Piala Dunia 2006 di Jerman selain mencipta pelbagai kejayaan sepanjang kariernya bersama Inter Milan, AC Milan dan Juventus.
Selepas bersara sebagai pemain, Pirlo memulakan kerjaya kejurulatihan bersama Juventus sebelum membantu kelab gergasi Turin itu meraih kejuaraan Piala Itali dan Piala Super Itali pada musim 2020-21.
Bekas pemain tengah berkelas dunia itu kini membimbing Dubai United yang beraksi dalam Liga Divisyen Pertama Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Laporan mengenai persetujuan tersebut muncul hanya beberapa jam selepas Guardiola menolak peluang untuk mengendalikan Itali walaupun FIGC dilaporkan sanggup menawarkan pakej istimewa bagi menarik bekas pengurus Manchester City itu.
Guardiola memilih untuk berehat daripada arena kejurulatihan selepas menamatkan era gemilang selama sedekad bersama City yang menyaksikannya memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris, satu Liga Juara-Juara Eropah dan pelbagai trofi domestik lain.
Sebelum itu, FIGC turut dikatakan menilai beberapa nama besar termasuk Carlo Ancelotti, namun akhirnya Pirlo dilihat sebagai calon paling sesuai untuk membentuk identiti baharu Itali berasaskan budaya dan falsafah bola sepak negara tersebut.
Kekosongan jawatan ketua jurulatih berlaku selepas Gennaro Gattuso melepaskan jawatan pada April lalu susulan kegagalan Itali menempah tiket ke Piala Dunia 2026.
Tugas yang menanti Pirlo jauh lebih besar daripada sekadar memperbaiki keputusan di atas padang.
Beliau perlu mengembalikan keyakinan penyokong, memperkukuhkan pembangunan bakat muda dan memastikan Itali kembali menjadi kuasa besar yang digeruni di Eropah serta dunia. – AGENSI/UTUSAN










