Emas Aniq hadir dalam kesakitan

Emas Aniq hadir dalam kesakitan

Mohamad Aniq Kasdan mengangkat bebanan keseluruhan 273 kilogram untuk membolehkannya menang pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2026. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada siapa menyangka senyuman Mohamad Aniq Kasdan di podium emas sebenarnya hadir bersama pengorbanan yang cukup besar apabila jaguh angkat berat negara itu berdepan kekejangan pada kedua-dua belah kaki selain masih dalam proses pemulihan kecederaan bahu sebelum turun beraksi pada final kategori 60 kilogram (kg) lelaki Sukan Komanwel Glasgow 2026, kelmarin.

Namun segala kebimbangan itu lenyap sebaik sahaja atlet berusia 24 tahun tersebut berjaya menyempurnakan angkatan pertamanya sebelum meneruskan aksi cemerlang untuk menghadiahkan emas pertama kontinjen negara menerusi jumlah angkatan keseluruhan 273kg, sekali gus memecahkan rekod temasya bagi acara clean and jerk serta keseluruhan.

“Semasa memanaskan badan kaki saya kejang kedua-dua belah. Masa itu saya fikir janganlah hari ini tak menjadi sebab saya memang datang ke sini dengan sasaran memburu emas.

“Saya juga risau dengan keadaan bahu kerana sebulan sebelum datang ke sini saya menjalani rawatan PRP pada tricep dan labral. Tetapi selepas angkatan pertama saya sudah tidak rasa sakit dan ketika itu saya yakin hari ini memang hari saya,” katanya.

Kejayaan itu turut menyaksikan Aniq mempertahankan gelaran dimenanginya di Birmingham 2022 selepas menewaskan pencabar utama dari India, Rishikanta Singh yang meraih perak dengan jumlah angkatan 271kg, manakala gangsa menjadi milik wakil Samoa, Don Opeloge.

Lebih manis, atlet kelahiran Segamat, Johor itu tidak meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod temasya, sebaliknya hanya mahu memastikan emas kekal menjadi milik Malaysia sebelum rekod hadir sebagai bonus.

“Saya memang tidak jangka akan buat rekod sebab sebelum datang ke Glasgow sasaran saya hanya satu, iaitu mahu mempertahankan pingat emas. Alhamdulillah akhirnya kedua-duanya menjadi kenyataan.

“Kemenangan ini sangat bermakna kerana saya sekali lagi dapat menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia,” katanya.

Kejayaan Aniq membuka laluan kepada kem cemerlang skuad angkat berat negara di Glasgow apabila Muhamad Aznil Bidin kemudian menyumbang emas kedua buat Malaysia, manakala Irene Jane Henry turut menghadiahkan pingat gangsa untuk melengkapkan satu lagi hari gemilang buat kontinjen negara di bumi Scotland. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN