Cornelli intai kejuaraan AFF 2026

Cornelli intai kejuaraan AFF 2026

Skuad bola sepak wanita negara menjalani sesi latihan menjelang aksi pembukaan Piala AFF Wanita 2026 menentang Laos, malam ini.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak wanita negara mensasarkan gelaran juara Piala AFF Wanita 2026 yang akan membuka tirai pada hari ini di Kuala Lumpur.

Ketua jurulatihnya, Joel Cornelli menyifatkan kejohanan kali ini sebagai peluang terbaik untuk mengangkat semula imej bola sepak wanita negara.

Pengendali dari Brazil itu berkata, beraksi di hadapan penyokong sendiri memberikan motivasi tambahan kepada pasukannya, malah percaya kejayaan dalam kejohanan itu mampu memberi impak besar terhadap pembangunan bola sepak wanita negara.

Katanya, sasaran utama Malaysia adalah melangkah sekurang-kurangnya ke separuh akhir sebelum memburu gelaran juara.

“Kita bermain di tempat sendiri, di Malaysia. Mungkin selepas 10 atau 15 tahun lagi barulah kita berpeluang menjadi tuan rumah semula.

“Ini peluang terbaik untuk meningkatkan perhatian terhadap bola sepak wanita negara, memperkatakan mengenai liga wanita dan pada masa sama meningkatkan sokongan serta bajet kepada pasukan.

“Jika kita beraksi dengan baik, kita boleh menjadi inspirasi kepada lebih ramai pemain muda untuk mula bermain bola sepak.

“Sasaran kami adalah layak ke separuh akhir, kemudian menikmati peluang ini dengan menunjukkan hasil kerja keras kami dalam meningkatkan prestasi skuad kebangsaan,” katanya.

Dalam masa sama, Cornelli menjelaskan beliau tidak mahu beban kepimpinan hanya dipikul seorang pemain apabila memilih tiga tonggak berpengalaman sebagai kelompok kapten pasukan.

Katanya,Steffi Sarge Kaur, Ainsyah Murad dan Lyana Soberi diberikan tanggungjawab memimpin skuad, namun setiap pemain perlu berani memikul peranan sebagai pemimpin di atas padang.

“Saya tidak mahu hanya seorang kapten memikul tanggungjawab besar ini. Semua pemain perlu bertanggungjawab.

“Saya percaya kepada Steffi, Ainsyah dan Lyana, tetapi saya juga mahu pemain baharu serta pemain muda mempunyai keyakinan bahawa mereka juga mampu memimpin pasukan. Itu amat penting untuk perkembangan mereka,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN