LONDON: Jude Bellingham membuktikan statusnya sebagai nadi utama England apabila menjadi satu-satunya pemain The Three Lions yang disenaraikan dalam kesebelasan terbaik Piala Dunia 2026 oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pemilihan itu melengkapkan prestasi cemerlang pemain tengah Real Madrid itu selepas membantu England menamatkan saingan di tempat ketiga, pencapaian terbaik negara itu di pentas Piala Dunia sejak menjulang trofi pada 1966.
England mengakhiri kempen dengan menewaskan Perancis dalam aksi penentuan tempat ketiga Sabtu lalu, bagi menutup perjalanan mereka dengan satu lagi pencapaian membanggakan di bawah kendalian Thomas Tuchel.
Bellingham turut mencipta rekod peribadi apabila meledak tujuh gol sepanjang kejohanan untuk muncul penjaring terbanyak England dalam sejarah penyertaan negara itu di satu edisi Piala Dunia.
Kecemerlangan pemain tengah itu menyaksikan dia dipilih mengemudi bahagian tengah bersama tonggak Manchester City, Rodri yang memainkan peranan penting membantu Sepanyol muncul juara dunia.
Turut mengisi kesebelasan terbaik tersebut ialah pertahanan kanan Tottenham Hotspur, Pedro Porro, yang tampil konsisten sepanjang kempen Sepanyol, manakala pertahanan kiri Marc Cucurella meneruskan reputasinya sebagai antara bek kiri terbaik dunia selepas membantu La Roja menguasai kejohanan.
Barisan pertahanan turut diperkuatkan oleh Dayot Upamecano dari Bayern Munich dan Lisandro Martinez yang menjadi benteng utama Argentina dalam perjalanan mereka ke pentas final.
Di bahagian serangan, FIFA memilih kombinasi bintang yang menjadi tumpuan sepanjang kejohanan iaitu Kylian Mbappe, Lionel Messi dan Erling Haaland.
Mbappe muncul pemenang Kasut Emas selepas menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak kejohanan, manakala Messi sekali lagi membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila memimpin Argentina ke final.
Haaland pula menikmati kempen terbaik bersama Norway apabila berjaya membawa pasukannya melakar pencapaian bersejarah sebelum tersingkir pada peringkat kalah mati.
Bagaimanapun, keputusan paling mengejutkan dalam pemilihan tersebut adalah ketiadaan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon yang dianggap ramai sebagai calon paling layak untuk mengisi posisi berkenaan.
Simon menjadi watak penting di sebalik kejayaan Sepanyol menjulang trofi dunia dengan hanya melepaskan satu gol sepanjang kejohanan selain mencatat rekod tanpa bolos dalam aksi final.
Sebaliknya, FIFA memilih penjaga gol Cape Verde, Vozinha, yang mencipta kisah dongeng tersendiri apabila membantu negaranya mara ke pusingan 32 terbaik.
Aksi luar biasanya sepanjang kejohanan menjadikan dia antara pemain paling mencuri perhatian dan akhirnya meraih pengiktirafan terbesar dalam kariernya. – AGENSI/UTUSAN










