Arsenal 'korbankan' Gyokeres demi Alvarez?

Arsenal ‘korbankan’ Gyokeres demi Alvarez?

Arsenal semakin terdesak mendapatkan Julian Alvarez bagi mengharungi musim baharu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Arsenal bersedia melakukan langkah berani dalam usaha mendapatkan penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez apabila sanggup menawarkan Viktor Gyokeres sebagai sebahagian daripada urus niaga pertukaran yang berpotensi menjadi antara perpindahan terbesar musim panas ini.

The Gunners semakin agresif memburu penyerang bertaraf dunia bagi memperkuatkan jentera serangan menjelang kempen baharu, dengan pengurusnya, Mikel Arteta meletakkan Alvarez sebagai sasaran utama untuk mengetuai barisan hadapan Arsenal.

Perkembangan tersebut hadir ketika masa depan Alvarez di Wanda Metropolitano terus menjadi tanda tanya selepas penyerang Argentina itu secara terbuka mengakui sedang mempertimbangkan haluan baharu dalam kariernya.

Ketika beraksi pada Piala Dunia bulan lalu, Alvarez mendedahkan, dia sudah berbincang dengan pihak pengurusan Atletico mengenai masa depannya dan percaya perpindahan mungkin menjadi jalan terbaik untuk semua pihak.

“Saya sudah bercakap dengan pihak yang perlu saya bercakap di Atletico dan saya fikir perpindahan adalah pilihan terbaik untuk semua pihak. Saya mahu merealisasikan impian saya.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai perkara ini, tetapi saya juga tidak boleh menyembunyikannya. Saya cuba menjadi seorang yang jujur,” katanya.

Walaupun Barcelona dilaporkan menjadi destinasi pilihan pemain berusia 26 tahun itu, hubungan tegang antara kedua-dua kelab La Liga berkenaan dipercayai menyukarkan sebarang rundingan.

Atletico dikatakan tidak berpuas hati dengan pendekatan yang dilakukan Barcelona dan enggan berunding dengan pasukan pencabar domestik mereka itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Atletico Madrid, Miguel Angel Gil Marin, menegaskan pendirian tegas kelab berkenaan untuk mempertahankan Alvarez walaupun menerima tawaran bernilai ratusan juta euro.

“Saya tidak ragu-ragu Atletico adalah tempat terbaik untuk Julian dan Julian adalah penyerang paling sesuai buat Atletico Madrid.

“Kami mahu dia terus kekal bersama kami. Kami tidak mahu menjualnya. Kami sudah menolak tawaran 100 juta euro (RM466 juta) dan kami juga tidak akan menerima tawaran 150 juta euro (RM699 juta) atau 200 juta euro (RM932 juta),” tegasnya.

Kenyataan tersebut menunjukkan betapa tinggi nilai Alvarez dalam perancangan jangka panjang Atletico, namun Arsenal percaya mereka masih mempunyai ruang untuk memecahkan kebuntuan itu menerusi tawaran kreatif yang melibatkan Gyokeres.

Menurut laporan The Times, Arsenal bersedia melabur besar bagi membawa masuk pemain bertaraf elit yang mampu mengubah dimensi serangan pasukan.

Arteta dikatakan sudah lama mengagumi kemampuan Alvarez sejak pemain itu beraksi di Manchester City dan melihatnya sebagai profil penyerang yang sesuai dengan corak permainan Arsenal. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN