PETALING JAYA: Ketiadaan beberapa tonggak utama bukanlah alasan untuk Harimau Malaya mengibarkan bendera putih lebih awal menjelang kempen Piala ASEAN 2026.
Sebaliknya, pemain tengah skuad kebangsaan, Sergio Aguero optimis skuad Harimau Malaya masih memiliki kemampuan untuk memberi saingan kepada pencabar lain.
Aguero mengakui persiapan kali ini tidak berjalan dalam situasi ideal apabila beberapa pemain utama gagal menyertai kem latihan pusat selepas tidak mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing berikutan kejohanan berlangsung di luar kalendar FIFA
Namun begitu, dia melihat situasi tersebut sebagai peluang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.
Bekas pemain Kanchanaburi Power FC itu berkata, gabungan pemain muda dan berpengalaman yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan mampu membentuk satu pasukan yang kompetitif sekiranya berjaya mencapai keserasian dalam tempoh persiapan yang singkat.
Menurutnya, dia tidak pernah berfikir panjang setiap kali menerima panggilan menyarung jersi Harimau Malaya kerana mewakili negara merupakan penghormatan terbesar dalam karier seorang pemain bola sepak.
“Ia sentiasa satu penghormatan untuk bermain bersama pasukan kebangsaan. Setiap kali dipanggil, jawapan saya sentiasa ya.
“Tidak kira sama ada perlawanan berlangsung dalam kalendar FIFA atau sebaliknya, saya sentiasa bersedia untuk mewakili negara,” katanya.
Aguero turut mengakui cabaran kali ini lebih besar kerana skuad kendalian Tan Cheng Hoe dibentuk dalam tempoh yang agak singkat selain dibarisi ramai pemain muka baharu yang masih mencari rentak di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, dia percaya pengalaman sebagai pemain profesional membolehkan setiap pemain menyesuaikan diri dengan cepat, terutama daripada segi kecergasan dan pemahaman taktikal yang diterapkan barisan kejurulatihan.
“Memang ia satu cabaran kerana terdapat ramai pemain baharu dalam pasukan. Namun kami semua profesional dan sudah biasa dengan situasi seperti ini.
“Kami perlu menyesuaikan diri semula serta mendapatkan tahap kecergasan terbaik. Saya percaya tempoh 10 hari yang ada cukup untuk kami membuat persiapan dan bersedia menghadapi perlawanan,” jelas pemain berusia 32 tahun itu.
Pada kempen kali ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Thailand, Laos, Myanmar dan Filipina, dengan juara dan naib juara kumpulan akan layak ke separuh akhir. – UTUSAN










