Young Tigers belum puas benam Pakistan

Young Tigers belum puas benam Pakistan

AKSI sengit Malaysia menentang Pakistan dalam saingan Piala Asia Bawah 18 Tahun di Kakamigahara, Jepun, semalam yang menyaksikan skuad negara menang 3-2. - IHSAN PERSEKUTUAN HOKI ASIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemenangan dramatik 3-2 ke atas Pakistan nyata menjadi suntikan moral terbaik buat skuad hoki lelaki bawah 18 tahun negara menjelang aksi penting menentang China pada saingan Piala Asia Bawah 18 Tahun di Kakamigahara, Jepun, Selasa ini.

Skuad kendalian Mohd Harfizi Baharom itu membuktikan karakter sebenar apabila menampilkan aksi penuh disiplin untuk menundukkan antara kuasa besar hoki remaja Asia tersebut dalam aksi pembukaan Kumpulan B, semalam.

Malaysia terlebih dahulu mengejutkan Pakistan menerusi dua jaringan awal Dheeressh Gunaseelan pada minit ke-11 dan 15 sebelum Muhammad Isyraf Shah Nor Amir menambah gol ketiga pada minit ke-27 untuk meletakkan Young Tigers selesa mendahului 3-0.

Namun tekanan tinggi Pakistan pada suku ketiga dan keempat hampir mengundang padah apabila lawan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Muzammil Saeed dan Muhammad Farhan Aslam.

“Syukur Alhamdulillah kerana pemain hari ini bermain bersungguh-sungguh, berdisiplin tinggi dan mereka berjaya menterjemahkan taktikal yang dirancang sehingga kami menang 3-2.

“Namun apabila kami sudah mendahului 3-0, pemain sedikit gugup dan leka sehingga memberi ruang kepada Pakistan untuk menekan kami dengan intensiti tinggi,” kata Harfizi.

Menurut beliau, kelemahan ketika bertahan pada penghujung permainan akan diperbaiki segera kerana Malaysia tidak mahu kesilapan sama berulang ketika bertemu China dalam aksi kedua kumpulan nanti.

“Kami akan gunakan hari rehat untuk naikkan semula motivasi pemain selain melakukan analisis video permainan China supaya pasukan lebih bersedia menghadapi mereka nanti,” katanya.

Sementara itu, skuad wanita negara mencatat kemenangan besar dengan membelasah Singapura 13-0, semalam selepas aksi mengecewakan tewas 1-2 kepada India, kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN