White House pertahan larangan visa pengadil Somalia, warga Iran

White House pertahan larangan visa pengadil Somalia, warga Iran

Andrew Giuliani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON, Amerika Syarikat: Ketua Pasukan Petugas White House bagi Piala Dunia mempertahankan keputusan tidak memberikan visa kepada seorang pengadil dari Somalia dan beberapa kakitangan sokongan bagi pasukan Iran.

“Setakat ini kami telah menerima 35 pasukan yang datang ke Amerika Syarika. Tiada pemain, tiada jurulatih yang ditolak. Namun ada beberapa pegawai yang ditolak, dan atas sebab yang baik,” kata pengarah eksekutif pasukan petugas itu, Andrew Giuliani pada satu acara yang dianjurkan oleh Atlantic Council di sini.

Seorang pegawai Jabatan Negara AS memberitahu AFP kelmarin bahawa pengadil tersebut ‘dikaitkan dengan individu yang disyaki anggota organisasi pengganas’, oleh itu menjadikan pengembara itu tidak layak untuk kemasukan ke Amerika Syarikat.

Giuliani, anak kepada bekas Datuk Bandar New York Rudy Giuliani, ditanya secara khusus mengenai keputusan menghalang pengadil Somalia Omar Artan daripada memasuki negara itu.

“Kami sedang mencari keseimbangan antara memastikan mana-mana pelaku jahat yang… cuba masuk ke negara ini di bawah nama Piala Dunia tidak akan mendapat akses ke Amerika Syarikat,” tambahnya.

Artan, yang pada 2025 dinamakan pengadil lelaki terbaik tahun ini oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika, akan menjadi warga Somalia pertama yang mengadili di Piala Dunia.

Beliau bagaimanapun telah dihantar pulang di lapangan terbang Miami.

Somalia merupakan salah satu daripada beberapa negara dalam senarai larangan perjalanan yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump sebagai sebahagian daripada tindakan keras imigresen yang lebih luas.

Iran, yang akan bermain tiga perlawanan kumpulan mereka di tanah Amerika, terpaksa menukar pangkalan latihan mereka ke Mexico disebabkan konflik ketenteraan yang berterusan dengan Amerika Syarikat.

Persekutuan Bola Sepak Iran berkata, peruntukan tiket untuk penyokong mereka telah dibatalkan dan beberapa kakitangan sokongan pasukan juga ditolak visa.

Giuliani berkata, semua kakitangan kejurulatihan Iran akan dibenarkan masuk tetapi terdapat beberapa pegawai Iran yang tidak akan masuk sekali lagi atas sebab yang sangat baik.

Beliau tidak boleh menghuraikan secara terperinci tetapi memberitahu ada beberapa orang yang mendakwa mereka jurulatih tetapi mungkin sebenarnya bukan jurulatih. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN