Switzerland juara Kumpulan B, Kanada cipta sejarah

Switzerland juara Kumpulan B, Kanada cipta sejarah

PENYOKONG Switzerland meraikan kejayaan pasukan mereka mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selaku juara Kumpulan B. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Switzerland mengesahkan status sebagai juara Kumpulan B selepas menewaskan Kanada 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Dunia 2026, sekali gus memastikan laluan lebih selesa ke pusingan kalah mati.

Dua gol pada separuh masa kedua menerusi Ruben Vargas dan Johan Manzambi sudah memadai untuk menghadiahkan kemenangan kepada Switzerland yang menamatkan saingan dengan tujuh mata.

Kanada pula terpaksa berpuas hati di tangga kedua kumpulan selepas mengumpul empat mata, namun keputusan itu tetap mencipta sejarah apabila mereka berjaya mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah penyertaan negara itu di Piala Dunia.

Aksi di Stadium BC Place bermula seimbang apabila kedua-dua pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya memburu kemenangan bagi menentukan juara kumpulan.

Switzerland hampir membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi Breel Embolo, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Kanada, Maxime Crepeau.

Kanada turut memperoleh beberapa peluang terbaik menerusi Cyle Larin dan Ali Ahmed tetapi ketangkasan Gregor Kobel memastikan gawang Switzerland tidak dibolosi pada separuh masa pertama.

PEMAIN Switzerland meraikan kejayaan mereka memperoleh gol kedua ketika menumpaskan Kanada 2-1, semalam. – AFP

Kebuntuan akhirnya terlerai sejurus babak kedua bermula apabila Vargas menyempurnakan hantaran Johan Manzambi untuk meletakkan Switzerland di hadapan.

Manzambi kemudian menggandakan kelebihan pasukannya pada minit ke-57 selepas memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Kanada untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Tersentak dengan jaringan itu, jurulatih Kanada, Jesse Marsch melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan Stephen Eustaquio bagi menguatkan jentera serangan.

Usaha Kanada akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-75 apabila pemain gantian, Promise David menjaringkan gol selepas menyempurnakan hantaran menarik Nathan Saliba.

AKSI pemain Kanada, Jacob Shaffelburg (tengah) cuba mengawal bola sambil diasak pemain Switzerland Ketika kedua-dua pasukan itu bertemu dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium BC Place, semalam. – AFP

Gol tersebut menghidupkan semula harapan tuan rumah bersama itu untuk mengikat kedudukan, namun Switzerland berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Bosnia-Herzegovina menewaskan Qatar 3-1 untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dengan empat mata, namun masih perlu menunggu keputusan kumpulan lain bagi menentukan peluang mereka sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik.

Susulan kemenangan itu, Switzerland akan berdepan salah satu pasukan tempat ketiga terbaik pada pusingan 32 terbaik minggu depan, manakala Kanada dijadual menentang naib juara Kumpulan A di Los Angeles. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN