Dallas: Peraturan baharu rehat hidrasi selama tiga minit pada Piala Dunia 2026 terus mengundang kontroversi apabila penyokong England dan Croatia bertindak mengejek keputusan itu ketika kedua-dua pasukan beraksi di Stadium Dallas, awal pagi tadi.
Sorakan tidak puas hati bergema sebaik pengadil Perancis, Clement Turpin meniup wisel pada minit ke-22 untuk memberi laluan kepada rehat wajib yang diperkenalkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi membantu pemain menghadapi cuaca panas serta kelembapan tinggi di Amerika Utara.
Langkah itu sejak awal lagi menerima pelbagai reaksi dengan sebahagian pengkritik berpendapat ia mengganggu rentak permainan, malah ada yang mendakwa FIFA cuba membahagikan perlawanan kepada empat suku masa sekali gus membuka ruang tambahan untuk penyiar menayangkan iklan.
Malah, sebelum sepak mula, beberapa penyokong England sudah menyuarakan bantahan menerusi media sosial dan berjanji akan menunjukkan rasa tidak puas hati mereka sekiranya rehat itu dilaksanakan.
Bantahan serupa turut berlaku di Toronto ketika aksi Kumpulan L membabitkan Panama dan Ghana apabila penyokong mengejek pemain yang berjalan menuju ke bangku simpanan untuk rehat hidrasi, walaupun ketika itu hujan sedang turun.
Di Boston, suasana sama tercetus ketika Norway menentang Iraq apabila penyokong mempersoalkan keperluan rehat berkenaan meskipun suhu hanya sekitar 23 darjah Celsius.
Ironinya, Iraq yang ketika itu berjaya mengikat Norway tanpa jaringan dan sedang mempamerkan aksi meyakinkan, hilang rentak selepas permainan disambung semula.
Mereka dibolosi hanya empat minit selepas rehat sebelum tewas 1-4, sekali gus menambah lagi perdebatan sama ada rehat hidrasi benar-benar membantu pemain atau sebaliknya.-AGENSI










