TORONTO: Ghana meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Panama 1-0 menerusi jaringan dramatik Caleb Yirenkyi pada masa kecederaan dalam aksi Kumpulan L Piala Dunia, sebentar tadi.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir tanpa jaringan, Yirenkyi muncul wira apabila menyempurnakan hantaran Thomas-Asante pada minit ke-95 untuk memastikan wakil Afrika itu terus menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2010.
Gol itu tercipta selepas Thomas-Asante berjaya melepasi kawalan pertahanan Panama, Jose Cordoba sebelum melorongkan bola ke dalam kotak penalti yang disudahkan dengan tenang oleh pemain berusia 20 tahun berkenaan.
Tersentak dengan jaringan itu, Panama mengerah seluruh tenaga bagi memburu gol penyamaan, termasuk menghantar lebih ramai pemain ke hadapan menerusi sepakan percuma pada saat akhir.
Namun, benteng Ghana kekal utuh untuk mempertahankan kelebihan tipis mereka sehingga wisel penamat dibunyikan.
Sebelum itu, Panama hampir mengejutkan Ghana seawal minit kedua menerusi rembatan lencong Cecilio Waterman, namun penjaga gol Ghana, Lawrence Ati Zigi, bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Ati Zigi bagaimanapun tidak dapat meneruskan aksi apabila mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan Benjamin Asare sebaik babak kedua bermula.
Kemenangan itu melonjakkan semangat Ghana yang bakal berdepan cabaran lebih getir menentang pendahulu Kumpulan L, England, dalam perlawanan seterusnya.
Panama pula masih memburu kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia apabila dijadual menentang Croatia pada aksi berikutnya.-AGENSI










