Siapa akan kemudi Harimau Malaya di Piala ASEAN?

Siapa kemudi Harimau Malaya di Piala ASEAN?

NAFUZI Zain turut ditamatkan kontrak sebagain pengendali skuad B-23 negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menamatkan kontrak pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Nafuzi Zain lebih awal menimbulkan persoalan besar mengenai siapa yang bakal mengemudi Harimau Malaya di Piala ASEAN 2026, bulan depan.

Situasi itu menjadi lebih mencabar apabila sebelum ini Nafuzi telah pun disenaraikan dalam perancangan awal untuk membawa skuad negara menghadapi kejohanan berkenaan, yang kini dijangka menyaksikan perubahan segera dalam struktur kejurulatihan.

Pengunduran Nafuzi secara rasmi dibuat selepas beliau merasakan sudah tiba masa untuk menamatkan perjalanan bersama skuad yang disifatkannya amat dekat di hati, meskipun sebelum ini memikul tanggungjawab penting dalam membentuk generasi muda Harimau Malaya.

Beliau dalam kenyataannya turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sepanjang tempoh perkhidmatannya, termasuk barisan pengurusan, staf sokongan, pemain serta penyokong yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

“Hari ini (semalam), saya mengumumkan pengunduran saya sebagai Ketua Jurulatih skuad B23 tahun. Semestinya bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sebuah pasukan yang begitu dekat di hati.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perjalanan karier saya. Terutamanya kepada pihak pengurusan, staf sokongan serta pemain dan juga penyokong yang sentiasa ada di belakang saya memberi sokongan dan semangat yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

Menurut Nafuzi, keyakinan terhadap masa depan skuad B-23 negara kekal tinggi dengan beliau percaya barisan pemain muda sedia ada memiliki potensi besar untuk berkembang dan menjadi aset penting negara pada masa akan datang.

“Saya yakin pasukan ini akan terus berkembang dan meraih kejayaan dengan bakat dan potensi pemain muda yang ada, sekali gus menjadikan mereka aset penting di masa hadapan.

“Saya amat menghargai kenangan dan sokongan semua. Terima kasih sekali lagi diucapkan,” jelasnya.

Untuk rekod, Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B Piala ASEAN bersama Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos, dengan kejohanan berkenaan dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos depan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN