Senegal terus 'bernyawa' benam Iraq 5-0

Senegal terus ‘bernyawa’ benam Iraq 5-0

PAPE Gueye meledak dua gol ketika Senegal membelasah Iraq 5-0 di Stadium Toronto.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TORONTO: Senegal mencipta sejarah apabila muncul pasukan Afrika pertama menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan Piala Dunia selepas membelasah Iraq 5-0 dalam aksi terakhir Kumpulan I, awal pagi tadi.

Dua gol menarik daripada Pape Gueye menjadi inspirasi kemenangan besar itu sekali gus meningkatkan peluang Senegal untuk mara ke pusingan 32 terbaik sebagai salah satu daripada lapan pasukan tempat ketiga terbaik.

Senegal kini memiliki perbezaan gol terbaik dalam kalangan pasukan yang mengumpul tiga mata, manakala Iraq menamatkan kempen tanpa sebarang mata selepas aksi yang mengecewakan.

Senegal bermula cemerlang apabila Habib Diarra membuka jaringan menerusi sentuhan tipis terhadap tandukan Abdoulaye Seck hasil sepakan penjuru. Ia merupakan gol antarabangsa pertama Diarra sejak menjaringkan gol ketika aksi persahabatan menentang England tahun lalu.

Harapan tipis Iraq untuk terus bersaing semakin musnah beberapa minit kemudian apabila pertahanan Rebin Sulaka dilayangkan kad merah pada minit ke-13.

Pengadil dari England, Anthony Taylor, membuat keputusan itu selepas meneliti rakaman VAR susulan kekasaran terhadap kapten Senegal, Sadio Mane, yang ketika itu berada dalam posisi terbaik untuk menjaringkan gol.

Kad merah itu menjadi yang terpantas dalam Piala Dunia 2026 setakat ini dan keempat terpantas dalam sejarah kejohanan.

Walaupun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, Senegal hanya mampu mencipta satu peluang berbahaya pada separuh masa pertama menerusi rembatan deras Ismail Jakobs yang sedikit tersasar.

Senegal kembali lebih garang selepas rehat ketika Iraq turut dipaksa mengeluarkan penjaga gol, Ahmed Basil, akibat kecederaan dan digantikan oleh Jalal Hassan.

Jaringan kedua hadir pada minit ke-56 menerusi Ismaila Sarr selepas kesilapan bekas pemain Manchester United, Zidane Iqbal, yang kehilangan penguasaan bola di kawasan sendiri. Gol itu merupakan jaringan ketiga Sarr dalam kejohanan.

Pertunjukan sebenar kemudian dimulakan oleh Gueye. Hanya 89 saat selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, pemain tengah Villarreal CF itu melepaskan rembatan lencong menarik dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-59.

Gueye menambah gol kedua peribadinya 12 minit kemudian menerusi voli separa yang deras dan gagal diselamatkan Hassan.

Jurulatih Iraq, Graham Arnold, hanya mampu melihat pasukannya terus dihukum apabila Iliman Ndiaye melengkapkan kemenangan bergaya Senegal dengan satu lagi jaringan menarik lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan besar itu memastikan Senegal terus menghidupkan harapan untuk melangkah ke pusingan kalah mati sambil menunggu keputusan kumpulan lain.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN